Sunday, January 15, 2017

Dari Hobi Kepada Sumber Pendapatan

Minat, Kemahiran & Kepakaran
Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com

 

Bila ditanya apa minat saya, terlalu banyak perkara yang melintas dalam kepala. Tetapi kesimpulan dari kesemua minat saya yang tidak ada penghujung ialah saya suka kepada kraf, menjahit, dekorasi dan kerja-kerja DIY.
 
Di rumah, saya tidak tahu duduk bersahaja. Awalnya setelah berpindah ke rumah sekarang, hari-hari saya cuba pastikan rumah saya SENTIASA kelihatan kemas dan tersusun. Tapi dengan cabaran menjaga 4 orang cahayamata yang sedang membesar dan suka mengeksplorasi, saya dapati diri saya berkesudahan dengan rasa kepenatan kerana melakukan sesuatu berulang-kali. Akhirnya, saya membawa aktiviti saya ke luar rumah.

Memandangkan saya suka aktiviti 'Do-It-Yourself' dan 'Upcycling', saya banyak menggunakan bahan terbuang untuk menghias laman dan rumah. Ada yang mengatakan saya seorang yang kedekut untuk berbelanja. Tetapi pada saya, saya seorang yang kreatif dan suka memandang sesuatu dalam perspektif 'MAKE DO'. Cuba lakukan sesuatu dengan apa yang ada. Saya pernah menjual pokok bunga dalam pasu dari botol mineral dengan harga RM5-RM10. Percaya tak?
 
Begitulah juga semasa saya memulakan perniagaan perkhidmatan perkahwinan dengan ayah. Segalanya bermula dengan kanvas terpakai dan besi lebihan serta tambahan modal sebanyak RM400. Saya kurang yakin untuk meminjam wang bagi memulakan perniagaan. Saya perlu kreatif untuk menjana pendapatan dari apa yang saya ada dan apa yang saya boleh serta mampu buat.

Dari sekadar hobi menjahit, saya tambah nilai hasil jahitan jubah dengan bunga dari kain perca dan jahitan manik.
Dari sekadar hobi untuk melihat warna-warna bunga yang berkembangan di laman, saya jual anak-anak pokok dan keratan pokok di Internet untuk jana pendapatan sampingan. Di suatu ketika, dari sekadar aktiviti suka melancong ke luar negara, saya beranikan diri dengan menawarkan perkhidmatan berniaga sambil melancong kepada mereka yang mahu cuba mengimport barangan dari negara-negara jiran. Saya juga membantu merangka beberapa aktiviti ala "Amazing Race" di luar negara untuk mereka yang berkenaan.

Nampak macam tidak fokus, kan? Terlalu banyak yang dilakukan. Tetapi semua pengalaman yang saya kongsi tidak berlaku serentak. Ibarat sumpah-sumpah yang mampu bertukar warna untuk mengadaptasi diri dengan keadaan sekitar, begitu juga saya. Ada kalanya apa yang dirancang, tidak berlaku seperti yang kita mahu. Tidak salah untuk bertukar dan mencuba.

   
Tukarkan hobi dan minat kepada sesuatu yang memberi manfaat. Tidak kira samada ianya dalam bentuk ilmu atau wang ringgit atau kasih sayang. Semuanya mudah jika kita memandang dari perspektif yang positif. Alang-alang nak jadi surirumah, biar jadi surirumah yang setaraf dengan profession professional yang lain. Malah, kita sebenarnya multi-tasking, kita adalah insan yang hebat!






.

No comments:

Post a Comment