Saturday, January 14, 2017

Bisnes Kerja Kahwin

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: FB Gobok The Boutique
Email :: ethabahrom@gmail.com



Bagaimana ia bermula?
  
Perniagaan Perkhidmatan Perkahwinan saya bermula pada tahun 2000 semasa saya melangsungkan perkahwinan saya. Ayah saya pada waktu itu memiliki perniagaan menyediakan papan iklan dan struktur pengiklanan. Kami ada banyak kanvas terpakai dan menyimpan lebihan besi dari pelbagai projek papan iklan.

Dek kerana kos menyewa peralatan kenduri yang agak mahal, ayah menempah kanvas khemah kenduri kahwin saya daripada beberapa kanvas besar terpakai. Struktur khemah pon ayah kimpal sendiri dari lebihan besi yang ada. Ayah memang seorang yang hebat dalam pertukangan, kerja tangan dan sangat kreatif. Di penghujung majlis perkahwinan saya, kami sudah ada 2 buah khemah dari kanvas terpakai. Rupanya memang tidak cantik tapi buatannya kukuh. Malah lebih elok dari khemah zink yang masih digunakan pada waktu itu. Mak pula bersengkang mata sampai 3 hari untuk menyiapkan pelamin saya. Semuanya kami buat sendiri tanpa pengalaman, secara Do-It-Yourself dan gotong-royong bersama adik-beradik dan sanak-saudara. Dapatlah kami menjimatkan belanja kenduri kahwin pada waktu itu.

 
Siapa sangka khemah bentuk A yang diperbuat dari kanvas terpakai dan lebihan besi itu mula menjana pendapatan sampingan untuk kami seisi keluarga. Sungguhpon rupanya memang tidak cantik kerana ada gambar-gambar di bahagian dalamnya, permintaan untuk menyewa pasti ada saban minggu. Menyedari permintaan kepada khemah kenduri kahwin atau kanopi kian meningkat, menyedari bahawa ini merupakan satu peluang perniagaan yang sangat berpotensi, ayah telah menambah 6 unit kanopi yang lebih baik dan cantik berbelang kuning dan putih. Dalam masa yang sama, kami mula menawarkan perkhidmatan lain iaitu perkhidmatan katering & PA system. Peranan saya pada waktu itu lebih menjurus kepada bantuan modal pusingan, membantu ayah mengenakan kain scallop pada khemah, menghias meja pengantin, pengurusan tempahan, pengiklanan dan aliran wang tunai. Bila permintaan meningkat, kami mendapat permintaan untuk sewa pelamin pula. Bertambah 1 lagi cabang perniagaan. Semuanya saya lakukan pada waktu hujung minggu di luar waktu pekerjaan tetap saya. 
  
Pada tahun 2003, saya telah menubuhkan satu syarikat untuk perniagaan yang lebih terurus dan diberi nama “Etha Wedding Services”. Perkhidmatan yang ditawarkan merangkumi semua perkhidmatan kenduri kahwin dari sekecil-kecil hal lukisan inai sehingga ke katering dan “wedding planner”. Istimewanya, perniagaan kami tidak menggunakan orang tengah kerana kami memiliki kesemua jenis keperluan kenduri kahwin melainkan perkhidmatan mak andam & sewaan baju pengantin. Dalam pada waktu yang sama, saya masih lagi bekerja seperti biasa. Saya menggunakan waktu malam untuk berjumpa dengan bakal pelanggan atau sekadar mengemas dan memeriksa asset-aset perniagaan yang ada.
 
Mengembang dari tahun ke tahun, adik-adik saya juga menunjukkan minat yang sama iaitu berniaga. Maka seawal habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), adik-adik lelaki pasti akan turun padang membantu ayah melakukan kerja-kerja yang lazimnya di lakukan oleh orang lelaki. Seorang adik lelaki saya yang cukup berbakat dalam kimpalan dan kerja tangan mula membantu ayah seawal usia 15 tahun. Manakala adik perempuan mula berjinak2 dengan andaman, hiasan, membantu saya membuat gubahan serta apa juga “kerja halus” yang diperlukan di dalam sesebuah majlis. Kami telah sebulat suara menganggap perniagaan yang kami jalankan ini sebagai perniagaan keluarga.
 
Penat berniaga dan bekerja, sekitar tahun 2006, saya mula mengembara dan melancong bersama suami untuk mencari inspirasi. Saya mula mencari peluang perniagaan dari setiap negara yang saya kunjungi dan tertubuhlah “Gobok The Boutique”. Saya mula belajar mengimport masuk fabrik, pakaian, perabot dan aksesori dari negara-negara ASEAN untuk di jual di dalam talian. Jika ada kelapangan masa, saya berniaga di acara-acara kecil dan besar seperti di downtown Cheras, JomHeboh, Hari Belia dan sebagainya.
 
Dari sekadar aktiviti pendapatan tambahan di salah satu forum terkenal, akhirnya saya jadikan ia sebagai pendapatan utama. Saya meletakkan jawatan pada tahun 2007 dan mula memberi perhatian penuh kepada perniagaan. 
  
Pada tahun 2008, akhirnya saya melepaskan tanggungjawab saya dalam perniagaan keluarga kepada adik-adik. Saya telah mengambil keputusan untuk membuka sebuah butik di Ampang Waterfront yang merupakan ruang pameran kerja, ruang jualan dan pejabat saya. Perniagaan saya merangkumi jualan baju pengantin, jubah, kebaya muslimah, pakaian renang muslimah, t-shirt muslimah, gubahan hantaran, doorgift dan sebagainya. Saya di bantu oleh adik ke-4 untuk mengendalikan perniagaan ini. Perniagaan di dalam talian akhirnya tergugat akibat masalah yang diluar kawalan saya. Forum tersebut mulai pudar dari senarai web terkenal untuk jual-beli di dalam talian. Menyedari populariti platform perniagaan saya mulai merosot, saya beralih kepada Facebook.


.

No comments:

Post a Comment