Friday, January 13, 2017

Dipersimpangan Dilema

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Sumber Google
Email :: ethabahrom@gmail.com




Saya tidak bekerja selama waktu saya belajar di Amerika Syarikat kerana saya bukan pelajar pintar. Saya merupakan seorang pelajar yang perlu bekerja keras dalam mengulangkaji, memahami dan menghafal. Tetapi jika diberikan tugasan yang melibatkan kemahiran, kecekapan dan ketangkasan, sayalah orangnya. 


Tahun 1998, kegawatan ekonomi dan politik melanda Malaysia. Rata-rata rakan-rakan yang pulang selepas meraih ijazah tidak mendapat pekerjaan tetap atau yang mereka inginkan. Dengan sokongan pihak penaja pelajaran saya, saya berjaya mendapatkan permit pekerjaan yang sah untuk 1 ke 2 tahun di Amerika. Saya bermula dengan bekerja sebagai Inventory Specialist. Kerjanya banyak berurusan dengan pihak pelanggan syarikat yang mahu menggunakan perkhidmatan kawalan dan kiraan stok di gedung-gedung besar seperti WalMart contohnya. Bekerja di kalangan bangsa Amerika sangat mencabar kerana saya satu-satunya wanita melayu Islam bertudung. Boss saya dari German. Dari loghat bahasa yang sangai koboi sehingga yang sangat German perlu saya fahamkan supaya saya tak jadi bahan. Secara tidak langsung, saya mengasah penggunaan Bahasa Inggeris loghat Amerika. Ada masa saya bercakap macam koboi kerana pemandu van yang hantar kami ke premis perniagaan pelanggan merupakan anak jati Oklahoma. Bangga rasanya bila kita yang dulu hanya bertutur English pelat, sekarang dah boleh bercakap dengan gaya orang Amerika. Kerja saya mudah kerana hari bekerja cuma Isnin hingga Khamis. Dari pagi (kadang kala kena bergerak seawal 3 pagi ke premis pelanggan) sehingga selewat-lewatnya jam 9 malam. Penatnya travel ke sana ke mari, tapi saya percaya, lagi jauh perjalanan kita, lebih luas pengalamannya. Saya dapat travel sambil bekerja!

Kegilaan mengumpul Dollar Amerika mula menyengat. Saya cari pekerjaan sampingan graveyard shift (shift malam) yang pada waktu itu gajinya saya dapati lebih mahal 50 sen dari shift biasa. 50 sen memang sikit pada kita, tapi di sana pada waktu itu, ianya duit makan tengah hari saya. Saya bekerja di bahagian belakang WalMart Superstore di Tulsa - bahagian punggah stok. Bayangkan tayar trailer pon dah lebih tinggi dari saya, apalagi kontenanya. Saya yang kenit (pada masa tu) ditugaskan untuk mengangkat dan memunggah barang ke troli yang kemudiannya di tolak ke department barang tersebut untuk dipamerkan di rak perniagaan. Seorang wanita Islam dari Malaysia yang bertudung, bekerja di bahagian belakang Super Store di kalangan lelaki Amerika yang sejujurnya pada saya, sangat hendak tahu apa yang saya pakai di kepala dan mengapa saya mengenakannya. Mujurlah ada saudara seIslam yang berbangsa African-America menawarkan diri untuk ‘jaga’ saya. Hari-hari seram.

Pada waktu itu, saya cuma bekerja pada malam Khamis, Sabtu dan Ahad. Masuk 6 petang, keluar 6 pagi. Memandangkan saya merupakan pembantu kesayangan, boss saya sentiasa beri kelonggaran mengubah waktu shift asalkan saya ada bekerja pada jam 12 tgh malam. Prestasi kerja saya antara yang terbaik, produktiviti kerja saya juga antara yang tertinggi, tidak lama selepas itu, saya diterima bekerja sebagai juruwang dan kemudiannya berkhidmat di kaunter Perkhidmatan Pelanggan.

Di sinilah bermulanya saya belajar apa maknanya “Customer IS ALWAYS RIGHT”. Rasanya ramai peniaga online yang menyampah dengan tagline ni. Nasihat saya, cuba fahami maksudnya sebelum menolaknya mentah-mentah. Dalam masa 6 bulan gaji saya naik 3 kali bukan sikit-sikit...saya jadi gelap mata bila tengok USD dalam akaun bank saya. Nak balik ke tidak ni.......



kredit gambar : money.cnn.com.

No comments:

Post a Comment