Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Sumber Pinterest
Email :: ethabahrom@gmail.com
Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Sumber Pinterest
Email :: ethabahrom@gmail.com
Email :: ethabahrom@gmail.com
Selain dari pengalaman membantu mak dan ayah berniaga di rumah dan di pasar malam, saya juga ada perniagaan sendiri. Saya berniaga kacang di sekolah rendah. Kadang kala, saya jual patung kertas. Jika terlebih rajin, saya jual batu seremban dari kain perca. Bila saya ikut ayah saya ke Chow Kit, saya turun memborong sekali dengan duit simpanan saya sendiri.
Di sekolah menengah, saya mula ambil upah jahit baju kurung. Saya tak guna mesin jahit, saya sembat halus-halus siap dengan tulang belut di leher. Rm18 sepasang baju kurung kalau tak silap saya. Waktu saya menetap di asrama, saya buat tie-dye dan kraf.
Semasa saya mengambil Associate Degree, saya menjual kraf, sarung bantal dan selimut patchwork. Semuanya menggunakan jahitan tangan. Di Amerika Syarikat, menjadi suatu perkara biasa untuk mereka mengadakan Garage Sale di hujung minggu. Selalunya barang yang dijual ialah barang yang tidak diperlukan lagi oleh tuan rumah. Pada suatu hari, sedang saya menyusuri jalan-jalan di kawasan perumahan berdekatan dengan rumah sewa saya, saya ternampak sebuah mesin jahit mudah alih untuk dijual. Yang menariknya, ianya dijual pada harga USD25. Pujuk-pujuk, saya dapat beli pada harga USD20. Alangkah bahagianya hati saya. Mesin jahit pertama saya. Apalagi bila dah ada mesin jahit, semua saya nak buat!
Menyedari kos penghantaran dari Malaysia ke Amerika Syarikat agak mahal, saya mula menawarkan perkhidmatan menjahit kepada kawan-kawan. Kalau dulu saya cuma jahit kraf dan baju kurung. Masa itu, saya tambah lagi - langsir dan baju melayu. Menjelang Hari Raya, dapatlah saya tambah duit poket sikit. Begitulah saya menyara kehendak saya sewaktu membesar dan belajar. Adik-beradik saya 10 orang, saya anak yang sulung. Tinggal di pinggir Kuala Lumpur. Jika di kampung, tidak ada lauk, kita boleh petik pucuk-pucuk sayur di belakang rumah, ditepi sungai, di tepi bendang atau pergi menangguk ikan di sungai. Tapi di tepi bandar, tak cukup duit memang boleh buat kami jadi berlapar dan makan apa yang ada. Saya tahu ayah kerja kuat, mak kerja keras. RM2 pon bunyinya umpama RM200 pada waktu itu. Kegusaran di hati saya jika melihat wajah ayah umpama tertekan dan kerisauan bila timbul soal wang perbelanjaan untuk sekolah saya dan adik-adik. Dengan mak yang saban hari bersengkang mata membuat aiskrim Malaysia, kerepek, kacang goreng dan menjahit, saya merasakan kemahiran menjahit dan kreativiti yang saya ada umpama satu anugerah tidak ternilai buat diri saya.
kredit gambar : pinterest.com
.
No comments:
Post a Comment