Tuesday, February 14, 2017

Kelas Asas Blog dan Penulisan

  Teks :: Etha Bahrom    Foto :: Akademi Bekerja Di Rumah    Email :: ethabahrom@gmail.com  



Lamanya tak menulis.

Bukan sebab dah malas. Tetapi saya baru berjaya melalui 2 minggu yang padat dan memenatkan. Nanti kita cerita dalam entri lain, ya!

Awal tahun ini, mak saya gelakkan saya bila saya kata saya nak daftar masuk kelas untuk bisnes. Katanya, dah umur macam saya...dengan anak 4 orang, kerja rumah, bisnes, nak urus diri lagi, dengan Syasya hari-hari menangis di sekolah, dengan Alisya yang aktif bergerak - BOLEH KE? Itu persoalan dari mak.

Jika dilihat dari satu sudut, memang saya tidak boleh. Orang yang semuanya nak buat sendiri dan tidak mahu menyusahkan orang lain dengan urusan yang bukan hal dia pasti akan faham betapa saya rasa perkara ini umpama menjerat diri untuk menjadi lebih 'tidak ada masa'.
Namun, Allah bukakan jalan. Saya akhirnya mendaftar untuk Kelas Asas Blog dan Penulisan dengan Puan Masayu Ahmad. Berjaya habis pulak tu. Tepukan untuk diri sendiri!

Tengok tajuk kelas, macam senang saja, kan? Macam...itupon nak ambil kelas ke? Memang senang kalau kita biasa buat. Untuk orang macam saya, blog memang bukan platform saya. Jadi, segala tempat yang saya perlu klik, perlu buat, perlu bina dan perlu tahu  membuatkan saya rasa sedikit kegusaran, rasa menggelabah, rasa hilang keyakinan sementara dan rasa MALAS. Walaupon konsepnya hampir sama dengan membina web dan ianya merupakan 'makanan' saya suatu masa dahulu, saya masih tidak faham motif blog. Bila tidak faham, mulalah rasa tersangkut.

Alhamdulillah. Dengan bantuan ahli kumpulan khususnya Puan Masayu, siap juga tugasan yang diberikan. Walau tidak berkelip atau berwarna-warni, namun saya percaya dengan keperluan content yang berisi dari make-up yang cantik agar bermanfaat kepada orang lain yang membacanya.

Saya dah nampak jalan bagaimana untuk memanfaatkan blogspot. Saya mulai faham bagaimana untuk kita letakkan diri kita di dalam dunia online melalui blog. Dan yang paling penting, saya dah tahu tulis blog dan dah ada blog.

Saya teringat kata-kata sahabat baik saya. Adakalanya, kebiasaan kita pada hari-hari yang kita lalui merupakan perkara yang luar biasa pada orang lain. Kadang-kala, perkara yang kita lakukan sambil santai boleh menjadi sumber inspirasi kepada insan lain. Saya mahu menjadi punca orang lain memajukan diri biarpon sekecil-kecil perkara seperti "alah...kerja kat rumah je ponnn"

Moga saya terus dapat memanfaatkan ilmu dari kelas ini untuk menyalurkan inspirasi kepada ibu-ibu lain. Bekerja dari rumah bukanlah satu kekurangan tetapi ianya memerlukan lebih dari 1001 kebolehan kerjaya lain. 

Terima kasih, Puan Masayu Ahmad!

Saturday, January 28, 2017

Jiwa Yang Tenang Sangat Membahagiakan

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com


Assalamualaikum. 

Moga hari indah seperti hari ini bg mereka yg mencari keindahannya menjadi lebih indah dari hari-hari sebelumnya. 

Ambil mood nak siapkan kerja kononnya. Orang tua2 kata, nak buat kerja, mula subuh2. Selalunya, kalau nak buat kerja, sure kita mandi dulu, kan? Tapi dari tadi Etha termenung kat sini. Nak mandi ke tidak... Nak mandi ke tidak niiii.... Sejukkkkk!!!

Erm...orang Ampang ada air tak hari ni?




.

Friday, January 27, 2017

MOOD CUTI - CHINESE NEW YEAR 2017

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com



Anak-anak dah mula cuti sejak semalam. Hari ni suami kerja separuh hari. Kami nak bawa anak-anak pergi berkhemah lagi sekejap lagi.

Ada sahabat yang berkata pada Etha, beraninya bawa anak-anak kecil masuk berkhemah di tepi hutan. Sebenarnya tidaklah seberani mana. Tetapi Etha jelaskan yang kita perlu beritahu kepada anak-anak yang kita ni masuk ke 'rumah' orang. Jelaskan beberapa perkara asas yang mereka perlu akur.


Contohnya, tidak dibenarkan membuang air merata-rata terutamanya di tepian gigi air dan pangkal pokok. Kita tak mahu ada 'orang' marah, kan? Mesti jadi tak seronok kalau tiba-tiba ada yang terjerit-terpekik di tengah-tengah malam sebab kena ganggu dengan 'mereka' yang marah.Contoh lain ialah dilarang main baling-baling batu ke hutan . Manalah tahu, terkena kepala 'mereka' yang tidak kelihatan. Nanti marah lagi....


Contoh lagi, JANGAN BERCAKAP BESAR. Penghuni hutan ni, mereka suka betul nak mengusik orang. Apalagi pada mereka yang bercakap besar, meninggi diri, meninggi suara atau tak sedar diri. he he he


Senang cerita, sedangkan bila kita bertandang ke rumah orang pon kena beradab, bergitulah juga bila kita masuk ke dalam hutan. Hutan bukan rumah kita. Kita menumpang sahaja. Jaga adab, insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka.


Selamat menyambut Tahun Ayam bagi mereka yang berbangsa Cina. Happy New Year dan Selamat Bercuti!


BYE...nak pergi dah ni...




.

Awal pagi dah kerja...

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com




Orang lain masuk pejabat pukul 8 pagi.

Etha pukul 6 pagi dah clock-in. 


Nama pon home office dengan butik kat bawah rumah.


Nampak seronok je kan?

Tahukah anda yang habit bekerja pagi-pagi (apalagi bila bekerja sendiri) memerlukan disiplin yang tinggi?

Macammana nak bangun awal?


Tidur kena awal. Boleh kalau nak tidur lambat. Tetapi minda dan badan yang penat, lesu dan tidak cukup rehat memang tidak akan membantu kita mencapai hasil kerja yang optimum. Bayangkan jika kita cuci pakaian pon adakalanya kita termasukkan baju panas warna hitam berendam dengan baju sekolah yang berwarna putih..ha...tu tanda kepenatan lah tu! Rehat dengan secukupnya. Jika tidak ada masa, cari masa.


Mak Etha selalu pesan, bangun subuh-subuh cari rezeki. Baik, mak.





.

Thursday, January 26, 2017

TIPS : Terma Dan Syarat Berurusniaga

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Sumber GOOGLE
Email :: ethabahrom@gmail.com







Seperti mana di dalam Islam yang menekankan aspek akad di dalam jual-beli, kita terjemahkan akad tersebut di dalam bentuk yang lebih umum yang boleh kita panggil 'Terma dan Syarat'.


Walaupon Etha pada suatu masa dahulu tidak mempunya premis perniagaan yang gah dan hanya berniaga di dalam talian, Etha tegas menetapkan beberapa terma dan syarat di dalam urusniaga.


Meskipon perkara ini kelihatan remeh. Ianya bertujuan untuk melindungi perniagaan kita dari segelintir pembeli yang tidak faham erti akad jual-beli, atau dalam bahasa mudahnya, mengambil kesempatan.


Contoh mudah yang perlu di letakkan di dalam terma dan syarat ialah tempoh pembayaran, tempoh tempahan, tempoh penghantaran, penafian dan syarat pemulangan.

Pamerkan atau umumkan terma dan syarat perniagaan kita sebaiknya bila pelanggan mula bertanyakan tentang barang jualan kita. Dengan adanya terma dan syarat dalam perniagaan, kita boleh rujuk kembali panduan pembelian yang telah kita tetapkan bila berlakunya apa-apa masalah.

Sebagai contoh, BOOKING. apabila pelanggan tersebut mahukan baju yang kita jual, tetapi beliau tidak mempunyai wang yang secukupnya. Kita boleh rujuk kembali panduan tempahan (jika ada). Berapa % jumlah yang perlu di bayar untuk booking, bila tempoh bayaran penuh dan apa akan jadi sekiranya tiada pembayaran selepas tempoh tersebut.

Mudah sahaja sebenarnya, kan? Bila kita sudah jelaskan kepada pelanggan, dan pelanggan tetap mahu membeli, bermakna pelanggan tahu terma kita di dalam urusan tersebut. Jika berlakunya kejadian yang tidak di ingini seperti pelanggan tidak membayar baki untuk pembelian dalam tempoh booking, barangnya telah diletakkan kembali untuk jualan dan ianya diviralkan di dalam media sosial, sekurang-kurangnya peniaga ada menyimpan rekod yang pembeli sudah dimaklumkan dan kita hanya menurut terma yang telah dipersetujui bersama pada waktu tersebut.

Dah ada terma dan syarat? Buatlah sekarang...demi perniagaan anda!




.

Wednesday, January 25, 2017

Ruang Kerja Di Rumah

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com

Ingat tak Etha pernah kata, kita kena sediakan ruang untuk kita berkerja walaupon ianya hanya bahagian dinding di dalam rumah kita?

OK. Itu cara Etha masa Etha tinggal di rumah flat berbelas tahun dahulu. Memang dinding sahaja. Macam-macam Etha tampal atas dinding tu. Sekarang rezeki Allah beri, kami dapat tinggal di dalam rumah yang ada basement.

Asalnya basement ni kami buat untuk dijadikan pejabat kecil kami atau Small-Office-Home-Office (SOHO) serta tempat kami meraikan tetamu sekiranya kami mengadakan apa-apa majlis. Tetapi bila kejadian pecah masuk butik tu berlaku, Etha ambil keputusan untuk menggunakan dan transformasikan ruangan ini sebagai Home Boutique. Orang tua kata, ruang kosong di dalam rumah, jika tidak digunakan lama-lama, ianya akan jadi tempat syaitan dan jin berumah-kampung. Ha ha ha. Mari kita transform ruang itu!

Etha kongsi bagaimana Etha tukar ruang kerja Etha dari dinding yang bosan, kepada dinding yang sarat dengan idea. Ruang yang biasa-biasa, menjadi ruang untuk Etha memotivasikan diri supaya menjahit dengan kadar rempitan luar biasa pada hari-hari luar biasa.


Bosan je, kan?


Acu wallpaper sikit... Beli yang murah je. Janji cantik!


Nampak tak betapa berbezanya rupa dinding tu?
SIAP!!! Inilah keadaannya pada hari-hari tenang. Waktu sibuk - bersepah gila!


Benang, jika tersusun rapi, ianya akan jadi sebahagian dari dekorasi. Kotak-kotak yang Etha guna di beli di kedai RM2. Kebanyakan bekas simpanan yang Etha guna ialah kotak kuih raya, tin biskut dan kotak simpan makanan. Kitar semula saja. Tapi hasilnya, cantik kan?

Etha suka sangat spot ni. Kalau dah termasuk kat situ, memang susah nak keluar balik. Moga anda dapat buat ruang kerja yang lebih cantik dari Etha punya. Biar berkobar-kobar sepanjang masa.


.

Tuesday, January 24, 2017

Kerja Dari Rumah

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com




2 hari tak post apa-apa. Mari Etha kenalkan penyeri butik di rumah Etha.

Ini Alisya. Anak Etha yang ke-4. Dia ni memang x berapa supporting bila masuk bab 'tolong behave, mama nak kerja' atau 'Alisya main ya, mama nak work'. Hmmphh...


Siapa ada cerita yang sama?


Pelik, kan? Anak kita boleh main tanpa mengganggu kita bila kita sekadar duduk di depan tv. Macam Etha, sebaik sahaja Etha bentang kain di atas meja dan pegang gunting, Alisya pasti akan datang untuk 'menolong'. Asal Etha pegang bunga untuk di gubah, dia pasti akan duduk sekali untuk 'menolong' juga. Macammana kerja nak siap ni?


Mempunyai anak kecil sambil kerja dari rumah memang menduga kesabaran kita. Apalagi bila kita nampak rakan-rakan peniaga kita meluncur laju menceritakan kehebatan angka jualan masing-masing atau berkongsi kisah pencapaian mereka.


Jangan cepat rasa geram. Jangan cepat rasa marah. Kita perlu letak keutamaan di dalam hidup kita. Mungkin sesetengah orang tidak bersetuju dengan pendapat Etha. Kita kembali kepada tujuan utama kita berhenti kerja, atau tujuan utama kita bekerja dari rumah. Jika jawapannya ialah 'agar kita mudah menguruskan anak-anak' atau 'nampak anak membesar depan mata', maka tetapkan hati untuk anak-anak sebagai perkara no.1 sebelum perkara yang berkaitan bisnes kita.


Seseorang pernah berkata pada Etha. "If you cannot walk through it, walk AROUND it". Maknanya jika kita tidak boleh berbuat sesuatu itu dengan cara mengubah sifat sesuatu itu, maka kita lah yang kena mengubah diri agar kita mampu menempuhinya. Deep.



Moga dipermudahkan, ya!

Sunday, January 22, 2017

Cipta Kenangan Untuk Di Kenang

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com
  
 

Alhamdulillah.
 
Cuaca cantik sangat sejak semalam. Hawa amat sejuk malam tadi sehinggakan kami adik-beradik berlonggok di hadapan unggun api bila anak-anak masing-masing sudah masuk tidur di dalam khemah. Bercerita tentang topik yang tiada hala-tuju. Ketawa. Minum kopi. Makan kacang. Gembira.

Asalnya Etha, mak Etha, seorang adik bujang dan 2 adik bersama keluarga masing-masing yang merancang perkhemahan ini. Tetapi, menjelang tengah malam, datang 2 lagi adik-adik lain membawa keluarga masing-masing. Gamat suasana seketika.




15 orang anak-anak kesemuanya berumur dari 1 tahun sehingga 13 tahun. Bukan senang nak kawal. Tapi bila semuanya dah tidur, amannya terasa. Barulah dengar bunyi cengkerik, suara ungka dan kelihatan kelip-kelip berterbangan bila lampu kecil USB kami dimalapkan.
 




Kerjasama.
 
Sepakat.
 
Itulah kami sejak dulu. Syukurlah adik-beradik boleh berlebih-kurang, bertolak-ansur, sama-sama menolong dan melengkapkan apa yang kurang lengkap pada adik-beradik lain. Mak sebagai 'gam' kami.

Pentingnya bila bekerja bersama adik-beradik ialah kesepakatan. Kami ambil berat peranan masing-masing. Kami bergerak sebagai satu kumpulan. Bukan dia dengan hal dia, aku dengan hal aku. Kerana itu, suatu masa dahulu, perniagaan perkhidmatan perkahwinan kami mampu menjulang pendapatan kasar keluarga mencecah RM40,000 seminggu (3 majlis sekali gus di dalam 1 minggu).

Tetapi kemeriahan bekerja yang kami jangka berpanjangan telah dicalarkan dengan satu insiden berpunca dari orang luar yang membuatkan Etha menarik diri dari perniagaan itu dengan serta-merta. Sejak dari itu, satu demi satu masalah muncul yang berpunca dari dalam. Kami akhirnya mengambil jalan masing-masing untuk meneruskan perniagaan mengikut kemahiran sendiri. Sedih.
 
Apapon, kami tetap OK. Macammana nak kata tidak OK kerana kami masih sering bersama dalam pelbagai aktiviti. Etha suka begini. Biarpon masing-masing telah berumur atas 20-an sekarang, pada Etha, mereka masih adik-adik kecil Etha yang Etha jaga bila mak dan ayah tiada di rumah. Merekalah adik-adik Etha yang Etha suapkan nasi ke mulut mereka. Merekalah yang Etha pernah dodoikan dengan lagu-lagu Rock Kapak (jangan gelak ok..). Merekalah adik-adik Etha yang Etha dukung dan kelek ke sana-ke mari. Syahdu la pulak....

Oklah.

Dah balik Ampang.

Working Mode ON.

Etha nak kena jumpa pelanggan baru di Ampang Point sekejap lagi. Ada kerja baru sikit. Kerja dari rumah pon kena keluar juga sekali-sekala. Untung nasib, boleh window shopping selantai-dua.
.

Saturday, January 21, 2017

Harga Masa Bersama Anak-anak

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com




Kami sedang bersiap-sedia untuk pergi berkhemah. Anak-anaklah yang paling x sabar nak pergi. Mama mereka masih di hadapan PC untuk entri ni.

Jika dulu, sewaktu anak Etha cuma 2 orang, kami pergi berkhemah setiap kali musim kenduri melabuhkan tirainya. Ianya satu aktiviti yang perlu di cari masanya kerana kekangan masa. Mana tidak, Etha dan suami kedua-duanya bekerja sepenuh masa dan dalam pada yang sama, membuat pekerjaan sampingan dengan mengendalikan perniagaan perkhidmatan kenduri kahwin.

Kerja kami memerlukan pengorbanan masa yang amat kritikal sehingga ada kalanya Etha tidak sempat untuk bertanyakan anak sulung berkenaan harinya di sekolah. Kasihan dia.

Bila kami dapat meluangkan masa, kami memilih untuk berkhemah kerana aktiviti ini akan merapatkan kami dengan tiadanya isyarat telefon bimbit ataupon siaran televisyen.

Agak lama juga kami tidak melakukan aktiviti ini. Seingat Etha, sejak Etha berhenti kerja dan membuka butik. Hujung minggu kami ialah di butik.

Satu rahmat juga bila butik di pecah masuk dan membuatkan Etha berpindah ke rumah. Kini, setelah Etha lepaskan perniagaan perkhidmatan perkahwinan kepada ayah dan adik-adik lain, masa Etha lebih terluang untuk anak-anak. Tahun ini sahaja, sudah 3 kali kami berkhemah. Sementara sekolah tidak banyak aktiviti, kan...

Mengapa perkhemahan yang dipilih? 

Selain dari tiada isyarat telefon bimbit dan siaran televisyen, keadaan dalam hutan yang sepi membuatkan anak-anak mahu dekat dengan kita. Kesempatan sebegitu kita boleh gunakan dengan sebaiknya untuk bercerita, bersembang, bertanya, berjenaka dan berseloroh dengan anak-anak. Semestinya dalam keadaan sebegitu, memori aktiviti akan terpahat kuat di dalam ingatan anak-anak kerana tiada gangguan lain, cuma kami.

Kita boleh menceritakan kepada anak-anak mengapa kasut perlu diletakkan terbalik, mengapa ranting digunakan untuk menghidupkan api dan lebih menarik jika kita kaitkan subjek sains kepada aktiviti kita. Kita boleh terangkan mengapa api tidak menyala. Kita boleh ajarkan anak-anak kita mencipta gadjet perkhemahan seperti tempat letak kasut dan rak pinggan-mangkuk. Semestinya juga kita boleh ajarkan mereka dengan nama-nama ikatan asas dan kegunaannya.

Selain daripada itu, biarkan mereka menjadi peneroka kecil kepada alam sekitar. Biarkan mereka mengenali serangga dan haiwan hutan seperti belalang kayu, mentadak, semut bukit, siput, pacat, katak hutan dan belut.

Jangan lupa didik mereka untuk mengutip segala sampah yang ada di sekeliling kawasan perkhemahan walaupon bukan kita yang biarkan sampah itu merata-rata. Perkara ini memang asing kepada orang kita, tetapi ianya satu kebiasaan semasa Etha pergi ke tapak perkhemahan di USA suatu masa dulu. Kagum. Sungguhpon mereka bukan Islam, tetapi mereka pembersih. Sedangkan kita yang Islam yang di ajar untuk jadi suci dan bersih, tanpa rasa bersalah meninggalkan sampah terbiar di pangkal pokok. Belum lagi nak diceritakan hal lampin pakai buang yang dibiarkan dicelah-celah batu di tepi sungai.

Sesetengah orang geli-geleman dengan aktiviti comot dengan pelbagai haiwan ni. Namun pada Etha, ianya satu bentuk pendidikan kepada anak-anak. Jimat belanja. Belajar susah. Belajar simple (walaupon mama mereka kadang-kala sangat complicated). Belajar jimat. Belajar untuk jadi kreatif.

Etha pergi dulu, ya! Kami bermalam di sana. Nak ambil feel menulis dari bunyi katak, cengkerik dan ungka kononnya. Tata.





.

Azam Dan Cabaran


Teks :: Etha Bahrom
Foto :: FB Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com




Meskipon bukan norma Etha untuk memasang azam untuk diri sendiri, Etha tetap menetapkan beberapa sasaran yang perlu Etha capai pada tahun tersebut. Tetapi sasaran itu bukan Etha tetapkan di tahun baru. Ianya sesuatu perkara yang ongoing. Tidak spesifik dan ringkas.

Bagaimana nak sasar?

Pada bila-bila masa, setiap kali kita terlintas untuk berbuat sesuatu, tuliskan ia di dalam buku catatan kita. Jika tidak ada buku catatan, tulislah diatas kertas dan TAMPALKAN di dinding di mana hari-hari kita akan terpandang kertas itu. Itu cara Etha.


Carikan 1 cara mudah yang boleh membuatkan kita tidak terlupa sasaran kita dan pastikan ianya PRAKTIKAL serta MEMBANTU. Lain orang lain caranya. 
Agak segan untuk berazam kerana perkataan azam itu akan menjadikan Etha macam dalam cerita Mat Jenin. Duduk di atas pokok, berangan dan meletakkan diri dalam bahaya jatuh ke bawah. Jika nak terikut-ikut cara orang lain, setiap tahun baru mesti nak pasang azam. Akan tetapi hinggalah hujung tahun ianya sekadar jadi azam. Kemudian, azam itu di bawa pula ke tahun hadapan yang berkesudahan dengan sekadar azam juga. Tapi itu pendangan Etha sahaja ye. Ini cuma saya.

Antara sebab azam tertangguh ni ialah KEUTAMAAN. Bila dah anak 2-3-4, rutin hidup kita tak akan sama dengan zaman kita cuma ada seorang anak atau zaman bujang.


Semasa masih bujang, langkah kita panjang. Hendak ke mana-mana pon senang. Tetapi apabila kita mempunyai anak kecil, hendak melangkah pon tak boleh besar-besar. Kena terhendap-hendap takut yang kecil yang disangka sedang leka rupa-rupanya sedang memerhati setiap gerak-geri mama secara terperinci. Semua benda dia nak ikut buat sekali, termasuklah bila kita hendak ke tandas. 

Siapa mama macam Etha pasti akan faham, kan? Nak gelak ke, nak stress? 

PRIORITY...KEUTAMAAN. Semestinya keluarga, suami dan anak-anak. Biarlah Etha menamakannya CABARAN. Biar setiap hari Etha dengki tengok betapa orang lain mara ke depan berlumba mencari ilmu atau mengasah idea untuk menulis sesuatu yang memanfaatkan diri dan orang lain. 

Pada Etha, cabaran ni jika ditafsirkan, ianya sesuatu yang kita mahu buat sepenuh hati. Walau kita ada urusan lain sekali pon, jiwa kita tetap akan ingat selalu untuk  buat. Kita akan curi masa untuk pandang. Kita akan usaha untuk laksanakan.

Contohnya, tahun ini, Etha tetapkan yang aku ingin buat 3 perkara baru dalam hidup, mengulang 3 perkara yang aku suka buat dan menolong 3 orang susah yang tidak dikenali yang perlukan pertolongan. Tidak perlu terlalu spesifik buat masa ini, kerana hanya kita yang tahu kemampuan diri kita dalam melalui cabaran kita hari-hari.

Ini kemajuan Etha setakat hari ini.

Senarai Perkara Baru
1 - menulis blog.



Senarai Perkara Yang Diulang
1 - Pergi bermalam di hutan bersama suami, anak-anak, adik-adik dan mak.



Alhamdulillah.




Pesanan ringkas : Teks di atas mungkin tidak akan dipersetujui oleh sesetengah pihak. Teruskan apa yang kamu percaya. Apa yang Etha tulis adalah di atas perjalanan dan pengalaman hidup sendiri. Tidak berniat untuk memperkecilkan orang lain apalagi menghalang kebiasaan orang lain. Maaf ya!


.

STOK LELONG - Kaftan Berlabuci

Email :: ethabahrom@gmail.com
WhatsApp : +6018 231 4479

FB : GobokTheBoutique

IG : GobokTheBoutique


Lagi Stok kaftan untuk di lelong. Diskaun 20% sampai stok habis ya. Harga yang tertera ialah harga yang belum diskaun. TIDAK TERMASUK KOS PEMBUNGKUSAN DAN PEMBAYARAN.


Perlu pakai inner. Sesuai dipakai dengan pareo, skirt labuh, kain batik atau palazzo. Setiap satu tinggal sehelai sahaja.

Kaftan,Sifon Organza Berlabuci
Luas Dada 52", Lubang Lengan 19", Labuh 34"

WhatsApp : +6018 231 4479
Nyatakan kod dan warna
Kaftan,Sifon Organza Berlabuci
Luas Dada 52", Lubang Lengan 19", Labuh 34"

WhatsApp : +6018 231 4479
Nyatakan kod dan warna
  


Kaftan,Sifon Organza Berlabuci
Luas Dada 52", Lubang Lengan 19", Labuh 34"

WhatsApp : +6018 231 4479
Nyatakan kod dan warna


Kaftan,Sifon Organza Berlabuci
Luas Dada 52", Lubang Lengan 19", Labuh 34"

WhatsApp : +6018 231 4479
Nyatakan kod dan warna


Kaftan,Sifon Organza Berlabuci
Luas Dada 52", Lubang Lengan 19", Labuh 34"

WhatsApp : +6018 231 4479
Nyatakan kod dan warna




.