Showing posts with label Pengalaman Bisnes. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman Bisnes. Show all posts

Thursday, January 26, 2017

TIPS : Terma Dan Syarat Berurusniaga

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Sumber GOOGLE
Email :: ethabahrom@gmail.com







Seperti mana di dalam Islam yang menekankan aspek akad di dalam jual-beli, kita terjemahkan akad tersebut di dalam bentuk yang lebih umum yang boleh kita panggil 'Terma dan Syarat'.


Walaupon Etha pada suatu masa dahulu tidak mempunya premis perniagaan yang gah dan hanya berniaga di dalam talian, Etha tegas menetapkan beberapa terma dan syarat di dalam urusniaga.


Meskipon perkara ini kelihatan remeh. Ianya bertujuan untuk melindungi perniagaan kita dari segelintir pembeli yang tidak faham erti akad jual-beli, atau dalam bahasa mudahnya, mengambil kesempatan.


Contoh mudah yang perlu di letakkan di dalam terma dan syarat ialah tempoh pembayaran, tempoh tempahan, tempoh penghantaran, penafian dan syarat pemulangan.

Pamerkan atau umumkan terma dan syarat perniagaan kita sebaiknya bila pelanggan mula bertanyakan tentang barang jualan kita. Dengan adanya terma dan syarat dalam perniagaan, kita boleh rujuk kembali panduan pembelian yang telah kita tetapkan bila berlakunya apa-apa masalah.

Sebagai contoh, BOOKING. apabila pelanggan tersebut mahukan baju yang kita jual, tetapi beliau tidak mempunyai wang yang secukupnya. Kita boleh rujuk kembali panduan tempahan (jika ada). Berapa % jumlah yang perlu di bayar untuk booking, bila tempoh bayaran penuh dan apa akan jadi sekiranya tiada pembayaran selepas tempoh tersebut.

Mudah sahaja sebenarnya, kan? Bila kita sudah jelaskan kepada pelanggan, dan pelanggan tetap mahu membeli, bermakna pelanggan tahu terma kita di dalam urusan tersebut. Jika berlakunya kejadian yang tidak di ingini seperti pelanggan tidak membayar baki untuk pembelian dalam tempoh booking, barangnya telah diletakkan kembali untuk jualan dan ianya diviralkan di dalam media sosial, sekurang-kurangnya peniaga ada menyimpan rekod yang pembeli sudah dimaklumkan dan kita hanya menurut terma yang telah dipersetujui bersama pada waktu tersebut.

Dah ada terma dan syarat? Buatlah sekarang...demi perniagaan anda!




.

Sunday, January 22, 2017

Cipta Kenangan Untuk Di Kenang

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com
  
 

Alhamdulillah.
 
Cuaca cantik sangat sejak semalam. Hawa amat sejuk malam tadi sehinggakan kami adik-beradik berlonggok di hadapan unggun api bila anak-anak masing-masing sudah masuk tidur di dalam khemah. Bercerita tentang topik yang tiada hala-tuju. Ketawa. Minum kopi. Makan kacang. Gembira.

Asalnya Etha, mak Etha, seorang adik bujang dan 2 adik bersama keluarga masing-masing yang merancang perkhemahan ini. Tetapi, menjelang tengah malam, datang 2 lagi adik-adik lain membawa keluarga masing-masing. Gamat suasana seketika.




15 orang anak-anak kesemuanya berumur dari 1 tahun sehingga 13 tahun. Bukan senang nak kawal. Tapi bila semuanya dah tidur, amannya terasa. Barulah dengar bunyi cengkerik, suara ungka dan kelihatan kelip-kelip berterbangan bila lampu kecil USB kami dimalapkan.
 




Kerjasama.
 
Sepakat.
 
Itulah kami sejak dulu. Syukurlah adik-beradik boleh berlebih-kurang, bertolak-ansur, sama-sama menolong dan melengkapkan apa yang kurang lengkap pada adik-beradik lain. Mak sebagai 'gam' kami.

Pentingnya bila bekerja bersama adik-beradik ialah kesepakatan. Kami ambil berat peranan masing-masing. Kami bergerak sebagai satu kumpulan. Bukan dia dengan hal dia, aku dengan hal aku. Kerana itu, suatu masa dahulu, perniagaan perkhidmatan perkahwinan kami mampu menjulang pendapatan kasar keluarga mencecah RM40,000 seminggu (3 majlis sekali gus di dalam 1 minggu).

Tetapi kemeriahan bekerja yang kami jangka berpanjangan telah dicalarkan dengan satu insiden berpunca dari orang luar yang membuatkan Etha menarik diri dari perniagaan itu dengan serta-merta. Sejak dari itu, satu demi satu masalah muncul yang berpunca dari dalam. Kami akhirnya mengambil jalan masing-masing untuk meneruskan perniagaan mengikut kemahiran sendiri. Sedih.
 
Apapon, kami tetap OK. Macammana nak kata tidak OK kerana kami masih sering bersama dalam pelbagai aktiviti. Etha suka begini. Biarpon masing-masing telah berumur atas 20-an sekarang, pada Etha, mereka masih adik-adik kecil Etha yang Etha jaga bila mak dan ayah tiada di rumah. Merekalah adik-adik Etha yang Etha suapkan nasi ke mulut mereka. Merekalah yang Etha pernah dodoikan dengan lagu-lagu Rock Kapak (jangan gelak ok..). Merekalah adik-adik Etha yang Etha dukung dan kelek ke sana-ke mari. Syahdu la pulak....

Oklah.

Dah balik Ampang.

Working Mode ON.

Etha nak kena jumpa pelanggan baru di Ampang Point sekejap lagi. Ada kerja baru sikit. Kerja dari rumah pon kena keluar juga sekali-sekala. Untung nasib, boleh window shopping selantai-dua.
.

Friday, January 20, 2017

TIPS : Nota Sebagai Dokumen Rujukan

DOKUMENKAN NOTA ITU!

Teks :: Etha Bahrom

Foto :: Sumber Google
Email :: ethabahrom@gmail.com 








Antara kesilapan peniaga kecil seperti Etha ialah tidak ada dokumentasi kerja. Segalanya hanya ditulis di mana-mana yang sempat. Ada yang hanya mencatat di atas sehelai kertas atau di telefon pintar. Kesudahannya, segala informasi yang penting tidak di dokumenkan dan hanya terbiar merata-rata.

Walaupon kita hanya bekerja dari rumah secara sepenuh atau separuh masa, dan menjalankan operasi kecil-kecilan, kita perlu simpan segala rekod perniagaan dan maklumat pelanggan. Rekod ini kemudiannya boleh dijadikan 1 database maklumat pelanggan kita yang sangat berguna seandainya kita berhasrat untuk membesarkan perniagaan.

 
Percaya atau tidak, semasa Etha masih aktif menjalankan perniagaan pakej kenduri kahwin, hampir semua pelanggan Etha mempunyai 1 fail tersendiri. Terinspirasi dari cerita Hollywood "The Wedding Planner", Etha terasa ingin menjadi seperti watak utama di dalam filem tersebut. 
 
Di dalam fail tersebut lengkap dengan maklumat bakal pengantin, alamat majlis, alamat rumah, nombor telefon bakal pengantin dan orang tua atau kerabat terdekatnya, segala tempahan secara terperinci, tema, permintaan, rekod pembayaran, senarai kelengkapan yang perlu dan sebagainya. Sehinggakan ukuran tinggi rumah dan lebar ruang  tamu pon Etha ukur dan catat untuk memastikan tiada masalah untuk kami menaikkan pelamin nanti.
 

Bertandang ke rumah pelanggan dengan komputer riba atau fail khusus dan buku nota mencetuskan rasa percaya yang luar biasa dari pelanggan-pelanggan Etha. Kepercayaannya sehingga tahap ada yang menyerahkan  perjalanan seluruh majlis kepada Etha asalkan semuanya lancar dan sempurna.
 
Bayangkan, orang yang baru kita kenali menyerahkan kepercayaan penuh kepada kita. Dari situ sahaja sudah menjadi satu bentuk marketing bila segala urusan berpusat kepada kita. Itu belum lagi bila kita menjadi center of attention dan nama kita di sebut dari bibir ke bibir dari depan pelamin sehingga ke belakang dapur. Waktu itu, jika Etha kata Etha kerja dari rumah atau tidak ada butik, memang ramai yang meluahkan rasa tidak percaya kerana imej kerja yang kita tonjolkan. Yang mana mahu terus berurusan dengan kita, jangan lupa berikan kad bisnes. Yang mana mencebik bibir kerana kita hanya BEKERJA DARI RUMAH, biarkan...bukan rezeki kita tu.
 

Semasa Etha mula menjalankan perniagaan secara online di forum, Etha mendidik diri untuk menulis maklumat pelanggan di dalam 1 buku nota khusus yang tebal. TEBAL kerana Etha angankan satu perniagaan yang maju dan ramai pelanggan di dalam tahun itu. Etha mahukan 1 buku untuk 1 tahun. Dapat 2 buku itu sudah 1 bonus.
 
Di dalam buku tersebut Etha tuliskan nickname pelanggan, jenis pakaian yang selalu menarik perhatian pelanggan tersebut, nombor telefon serta maklumat surat-menyurat dan rekod pembelian iaitu jenis pakaian, harga, no transaksi bank serta diskaun yang diberikan. Apabila berkesempatan, segala data ini Etha alihkan ke perisian Excel. Buku sebagai rekod utama, data di dalam Excel sebagai database.

Nampak menyusahkan, kan?
Tetapi bayangkan setelah kita berada 5 tahun di dalam perniagaan yang sama, rekod tersebut membantu kita melihat perubahan trend pembelian, waktu puncak pembelian (berdasarkan tarikh pembelian), bilangan pelanggan tetap dan banyak lagi informasi lain. 

 
Detail tak penjelasan Etha? Moga bermanfaat kepada semua ya!




.

Thursday, January 19, 2017

Kenangan Manis di Downtown Cheras

(catatan pengalaman berniaga offline)

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Sumber Google
Email :: ethabahrom@gmail.com 




 
Saya tidak ingat tahunnya. Mungkin 2006, mungkin juga 2007. Tetapi saya ingat lagi pertama kali saya berniaga di downtown Cheras. Malam itu ialah malam Selasa.  Hari Raya Aidilfitri di tulis jatuh pada hari Rabu di dalam kalendar.

Saya datang berniaga seawal selepas berbuka puasa bersama adik dan suami. Kami tidak mempunyai expectation yang tinggi. Sebenarnya kami sendiri tidak pasti jualan apa yang bakal laris. Kami bawa sahaja semua stok pakaian yang ada dan gantungkan. Doa saya pada waktu itu, janganlah hujan kerana saya memang tak bersedia untuk basah.

Waktu berlalu, kunjungan makin ramai. Baju saya cantik dan unik. Tetapi tidak ada siapa yang pandang, jauh sekali nak membeli. Puas saya sapa adik-adik yang lalu-lalang. Susah rupanya nak tarik perhatian orang di kawasan sebegini.

Untuk seketika, kami termenung dan memandang sesama sendiri. Menyampah dengan jiran khemah sebelah yang meletakkan pelbagai barang di depan khemah, di tengah laluan, saya mengambil mannequin yang asalnya di dalam khemah lalu meletakkanya ke luar khemah di depan khemah kami. 

Taktik itu menjadi rupanya. Satu demi satu pelanggan kami terima yang berakhir dengan pembelian. Malam itu menjadi malam yang sangat panjang di mana hampir separuh stok saya terjual. Permulaan yang baik pada saya. Hasil jualan yang mencecah RM2000 dalam satu malam. Mungkin sedikit pada orang lain. Pada kami, ianya jumlah yang banyak.

Pelbagai pengalaman kami timba pada malam itu. Antaranya pengurusan duit tukaran, susunan barang jualan dan plastik kat mana? Hahaha...pasal plastik tu memang buat kami kelam-kabut. Sibuk nak menjual sampai terlupa sediakan plastik. Bukannya tak ada, tetapi plastik tersorok di dalam guni. Huru-hara kami mencari.

Satu insiden yang menyentuh perasaan kami suami-isteri bila khemah kami dikunjungi oleh sepasang suami-isteri yang baru berkahwin. Suami tersebut mahu membelikan isterinya sepasang baju raya. Tetapi wang yang ada di dalam dompet suami tidak mencukupi. Si suami tidak perasan yang suami saya sedang berdiri di belakang khemah untuk mengambil angin seketika. Suami saya ternampak jumlah yang ada di dalam dompet dia.

Untuk beberapa ketika, kelihatan mereka seperti berbincang. Suami memujuk. Isteri menunjukkan wajah sedih. Isteri mengangguk, mereka berlalu pergi. Selang beberapa minit kemudian, si suami datang kembali bertanyakan harga sepasang pakaian yang saya jual. Dia mula menawar. Dia menunjukkan reaksi resah dan berlalu pergi lagi. Beberapa lama kemudian, mereka suami-isteri datang lagi. Pada waktu itu jam sudah menunjukkan jam 4 pagi. Dari mata si isteri, saya rasa dia baru lepas menangis. Saya menoleh memandang wajah suami saya dan beliau memberi isyarat untuk meletakkan harga yang pada saya mmg hanya lepas kos sahaja. Saya ke belakang untuk bercakap dengan suami saya. Nasihat suami saya "Kita dah ada untung. Tak apalah rugi sikit. Kesian kat dia."

Pada waktu itu, tidak ada wajah yang lebih menggembirakan saya selain dari wajah gembira pelanggan saya. Si suami bersalaman dengan suami saya sambil memeluk suami saya  berkali-kali. Saya tidak tahu apa cerita mereka. Yang saya pasti, adakalanya perbuatan baik yang sedikit itu mungkin sangat besar pengertiannya bagi mereka yang memerlukannya.

Begitulah cerita suatu malam semasa saya mula-mula belajar berniaga di downtown. Dari berniaga di bawah 1 khemah pada tahun itu, kami berakhir dengan 4 khemah pada tahun 2010. Pengalaman yang tidak mampu di beli dengan wang ringgit.

Sunday, January 15, 2017

Dari Hobi Kepada Sumber Pendapatan - Bhgn 2

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com





Saya yakin ramai yang suka melancong. Saya antara orangnya. Saya kurang gemar konsep bercuti dengan pemandu pelancong. Sebaliknya, saya menggemari gaya backpackers.

Antara negara yang sering saya lawati ialah Indonesia dan Thailand. Asalnya kerana kos bercuti yang lebih murah dari bercuti di dalam Malaysia (mesti ramai tak percaya). Berbalik kepada ayat saya tadi - gaya backpackers ya! Bila sudah selalu berjalan, saya mula nampak peluang-peluang perniagaan di depan mata. Apatah lagi bila suami seorang yang suka memandang 5 atau 10 tahun ke depan.
 
Segalanya adalah tentang peluang, pelaburan dan masa depan serta kelangsungan hidup untuk anak-anak. Pelbagai peluang perniagaan kami terokai semasa di luar negara antaranya menjual barang dan perabot perhiasan. Ada juga trend yang sudah lama menjadi kebiasaan di negara luar tetapi menjadi sesuatu yang baru di negara kita sehinggakan kami memandang sesama sendiri dengan ayat yang sama di dalam kepala iaitu "LAH!!! KENAPALAH KITA TAK BUAT BISNES NI DARI DULU?"
 
Saya juga pernah menawarkan pakej-pakej murah untuk membawa peniaga yang ingin memborong di Indonesia. Buat seketika, projek kecil saya yang berjalan sebulan sekali memang membantu saya menambah kenalan dalam aliran perniagaan yang sama. Perniagaan seperti ini memerlukan saya cekap menguruskan kos, memperuntukkan masa dan merancang keperluan perjalanan.


Yang seronoknya, saya dan peniaga lain dapat bertukar pengalaman dan pengetahuan. Ada yang langsung tidak kedekut berkongsi idea dan orang hubungan dalam perniagaan tertentu. Ada juga yang cuba 'memotong kaki saya dari bawah'.
 
Walau ada yang mengatakan yang tindakan saya ini umpama menutup periuk nasi sendiri, saya mesti yakin yang rezeki adalah aturan Ar-Razzaq. Bersangka baik walaupon yang hadir dalam hidup kita pada waktu itu bukan perkara yang baik dan mungkin menyakitkan.
    
Segalanya saya mulakan dari kosong. Bukan mudah untuk mendapatkan ilmu atau informasi. Segalanya memerlukan kerja keras dan sedikit kreativiti dalam pencarian.
 
Syukurlah suami saya seorang yang menyokong aktiviti saya yang kadang-kala pelik-pelik. Secara tidak langsung, ini menjadi sumber pendapatan kepada kami sekeluarga. Seronok, kan?



.

Dari Hobi Kepada Sumber Pendapatan

Minat, Kemahiran & Kepakaran
Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com

 

Bila ditanya apa minat saya, terlalu banyak perkara yang melintas dalam kepala. Tetapi kesimpulan dari kesemua minat saya yang tidak ada penghujung ialah saya suka kepada kraf, menjahit, dekorasi dan kerja-kerja DIY.
 
Di rumah, saya tidak tahu duduk bersahaja. Awalnya setelah berpindah ke rumah sekarang, hari-hari saya cuba pastikan rumah saya SENTIASA kelihatan kemas dan tersusun. Tapi dengan cabaran menjaga 4 orang cahayamata yang sedang membesar dan suka mengeksplorasi, saya dapati diri saya berkesudahan dengan rasa kepenatan kerana melakukan sesuatu berulang-kali. Akhirnya, saya membawa aktiviti saya ke luar rumah.

Memandangkan saya suka aktiviti 'Do-It-Yourself' dan 'Upcycling', saya banyak menggunakan bahan terbuang untuk menghias laman dan rumah. Ada yang mengatakan saya seorang yang kedekut untuk berbelanja. Tetapi pada saya, saya seorang yang kreatif dan suka memandang sesuatu dalam perspektif 'MAKE DO'. Cuba lakukan sesuatu dengan apa yang ada. Saya pernah menjual pokok bunga dalam pasu dari botol mineral dengan harga RM5-RM10. Percaya tak?
 
Begitulah juga semasa saya memulakan perniagaan perkhidmatan perkahwinan dengan ayah. Segalanya bermula dengan kanvas terpakai dan besi lebihan serta tambahan modal sebanyak RM400. Saya kurang yakin untuk meminjam wang bagi memulakan perniagaan. Saya perlu kreatif untuk menjana pendapatan dari apa yang saya ada dan apa yang saya boleh serta mampu buat.

Dari sekadar hobi menjahit, saya tambah nilai hasil jahitan jubah dengan bunga dari kain perca dan jahitan manik.
Dari sekadar hobi untuk melihat warna-warna bunga yang berkembangan di laman, saya jual anak-anak pokok dan keratan pokok di Internet untuk jana pendapatan sampingan. Di suatu ketika, dari sekadar aktiviti suka melancong ke luar negara, saya beranikan diri dengan menawarkan perkhidmatan berniaga sambil melancong kepada mereka yang mahu cuba mengimport barangan dari negara-negara jiran. Saya juga membantu merangka beberapa aktiviti ala "Amazing Race" di luar negara untuk mereka yang berkenaan.

Nampak macam tidak fokus, kan? Terlalu banyak yang dilakukan. Tetapi semua pengalaman yang saya kongsi tidak berlaku serentak. Ibarat sumpah-sumpah yang mampu bertukar warna untuk mengadaptasi diri dengan keadaan sekitar, begitu juga saya. Ada kalanya apa yang dirancang, tidak berlaku seperti yang kita mahu. Tidak salah untuk bertukar dan mencuba.

   
Tukarkan hobi dan minat kepada sesuatu yang memberi manfaat. Tidak kira samada ianya dalam bentuk ilmu atau wang ringgit atau kasih sayang. Semuanya mudah jika kita memandang dari perspektif yang positif. Alang-alang nak jadi surirumah, biar jadi surirumah yang setaraf dengan profession professional yang lain. Malah, kita sebenarnya multi-tasking, kita adalah insan yang hebat!






.

Tempat Baru, Cara Baru, Impian Baru

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: FB Gobok The Boutique
Email :: ethabahrom@gmail.com


 

Untuk 'menghidupkan' butik yang beroperasi dari rumah bukanlah perkara yang mudah. Rata-rata pelanggan beranggapan umpama mereka datang ke rumah saya sedangkan kawasan butik terpisah dari kawasan kediaman kami sekeluarga. Sedangkan jika kita ke Indonesia atau kita lihat balik perniagaan cara dulu-dulu, adalah perkara biasa jika kita berniaga di dalam kawasan rumah kediaman. Saya sendiri pernah berniaga makanan ringan, buah-buahan, air dan aiskrim di halaman rumah.
  Pelbagai program saya susun supaya pelanggan tahu yang saya masih berniaga dan Gobok masih beroperasi dengan konsep yang berbeza.
    

Sepanjang tahun 2015, saya mengadakan beberapa acara jualan ala 'Yard Sale' di perkarangan rumah di mana saya menjemput peniaga-peniaga kecil untuk datang berniaga bersama-sama saya. Saya manfaatkan beberapa ruang di kediaman saya sebagai kelas untuk di sewa. Saya menganjurkan kelas kraf untuk kanak-kanak dengan menjemput guru kraf sebagai pemudah-cara. Bila ada kesempatan, saya bercucuk-tanam menanam pokok bunga Ros Jepun dan jual di kelab-kelab pokok bunga di internet. 
   
Kelas Eksplorasi Kraf Felt

   
Kelas Manik 3D
   
Mudahnya bila bekerja dari rumah. Saya mula memandang kejadian pecah-masuk di butik sebagai satu petanda dari Allah yang memberi lorong kepada saya supaya tidak terus terkejar masa dan kelam-kabut menguruskan segalanya. Saya keluar dari kepompong rasa ralat dan kecewa. Saya kenang kembali bagaimana saya memulakan perniagaan dalam talian suatu masa dahulu. Saya kenang kembali perit-jerih saya memulakan perniagaan bersama ayah saya. Saya ingat kembali bagaimana saya tidak gentar mencari pengalaman di negara asing. Keadaan lebih teratur walaupon saya andaikan yang saya terpaksa bermula kembali dari bawah. Saya lelong stok-stok yang tersimpan. Ada yang langsung tak sempat saya pasarkan. Tak mengapa. Memandang dari sudut positif, You Are Never Too Late or Too Old to Start a New Dream. 






Hikmah di Sebalik Kejadian

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com
 
Hari-hari Terakhir di Butik.


Tahun 2014 mencatatkan trauma kepada hidup saya bila butik saya di pecah masuk. Premis perniagaan yang berada di bawah premis saya rupanya mempunyai pintu belakang yang telah di kopak bahagian kuncinya. Entah berapa lama agaknya penjahat tersebut memerhatikan gerak-geri saya. Jiran premis perniagaan saya mendengar bunyi bising tetapi tidak datang memeriksa kerana bertanggapan bahawa lot bawah tersebut sedang membuat renovasi. Sedangkan kejadian sebenarnya ialah penjahat tersebut telah membuat lubang yang besar di dinding yang bersempadan dengan premis saya. Kejadian tersebut berlaku di waktu siang hari. 

Hati saya jadi tidak tentu arah bila suis lampu yang saya tekan tidak menyalakan lampu di bahagian tangga. Saya mula menyangka yang saya terlupa membayar bill letrik. Saya meraba di dalam kegelapan, grill saya tidak bertutup dan akhirnya ke pintu kaca dimana saya tak jumpa pintu saya! Butik saya di pecah masuk!
 
Ketakutan mula bersarang dalam diri bila saya membayangkan penjahat tersebut datang pada waktu saya berada di butik dengan 2 anak kecil. Premis bawah yang kosong memudahkan kerja mereka. Masuk sahaja ke bahagian tangga, tutup pintu, sekat grill...pasti saya terperangkap di premis saya tanpa sesiapa menyedari perkara buruk yang terjadi. Setelah hampir berbulan saya masih tidak pulih dari trauma kejadian, saya mengambil keputusan berat untuk menutup butik saya dan memindahkan segala urusan di tingkat bawah rumah. Maka, bermulalah semangat Home Boutique atau Butik di Rumah Kediaman.





.

Cabaran Buat Kita Kental

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: FB Gobok The Boutique / FB Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com


 


Tahun 2013 merupakan tahun yang sukar bila saya hamil dengan anak ke-4. Alahan yang agak teruk membuatkan saya hampir tak mampu untuk ke butik. Waktu kerja saya mula tidak menentu. Keadaan tersebut berlarutan sehingga saya melahirkan. 

Memperlahankan momentum perniagaan di saat kita di hebahkan di kaca TV dan keluar di dalam surat khabar bukanlah 1 perkara yang bijak. Saya mula merasakan bahang tekanan kerana terlalu banyak hendak di buat sambil menjaga 4 orang anak.

Walaupon suami ada menjadi tulang-belakang saya dan beliau sentiasa menggalakkan, saya sendiri merasakan tekanan kerana segalanya agak sukar dek kerana pengurusan masa yang semakin menghendakkan saya memberi perhatian lebih kepada 2 anak kecil saya. Saya perlu mencari solusi. Rakan saya pernah berkata, "If you can't walk through it, walk around it". Menyedari yang saya pada waktu itu kurang pilihan, lalu saya nyatakan kepada suami untuk membuka ‘pejabat kecil’ di tingkat bawah rumah sebagai satu solusi agar saya boleh bekerja. 

Dipenghujung tahun 2013, saya membawa semua mesin jahit yang ada pulang ke rumah. Saya sediakan tempat bekerja saya lengkap dengan segala keperluan pejabat. Saya tambah 2 mesin lagi supaya saya tidak perlu keluar dari rumah untuk urusan-urusan kecil. Urusan di butik telah berubah masa dan konsep bila pelanggan yang datang hanya dengan temu janji dan saya membuka butik sepenuh hari hanya pada hujung minggu. Walau dengan cara sedemikian yang kelihatan tidak praktikal untuk sesetengah perniagaan, saya masih mampu bertahan dengan mengambil tempahan jahitan dan hantaran. Saya tetap menjalankan perniagaan di dalam talian dan meneruskan projek dropship.

Saya cuba lakukan apa yang sesuai dengan keperluan saya. Saya menasihati diri saya supaya tidak terlalu mengikut apa yang trending kerana ianya mungkin tidak sesuai dengan keperluan saya pada waktu itu. Berbahagialah untuk mereka yang mampu pecut jauh. Ingat pada kisah kura-kura dan arnab. Walaupon kura-kura perlahan dan kelihatan seperti lembap, konsisten dan fokus membuatkan dia berjaya ke garisan penamat dan menang di hujung cerita. Cuma saya bukan mahu menang, saya mahu hidup.





.

Rise And Shine

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: FB Gobok The Boutique / FB Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com

Pada tahun 2012, bermulalah projek dropship baju kurung saya. Projek ini saya buka untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar, ibu-ibu SAHM serta WAHM dan mereka yang ingin mencari pendapatan sampingan. Konsepnya ialah kerja berpasukan. Tak perlu modal, tapi kena rajin dan wajib sepakat dan bekerjasama.

Nampak mudah projek sebegini, tetapi sebenarnya memerlukan kemahiran pengurusan masa, tenaga dan kos serta kepercayaan yang tinggi. Apalagi bila projek ini mempunyai lebih 20 agen yang aktif dan separa aktif. Saya melaburkan sebahagian tabungan dari perniagaan untuk menambah stok. Hampir tak menang tangan dibuatnya bila rata-rata agen saya memang sangat aktif dan ligat mencari rezeki. Mujurlah saya memang multi-tasking sejak dulu. Semuanya saya lakukan sendiri dibutik bertemankan anak saya yang ke-3 yang berumur 2 tahun pada waktu itu.

Anak saya sentiasa bersama saya pada waktu bekerja. Malah jika saya ke luar negara atau berniaga di bawah khemah sekali pon, anak saya pasti saya bawa bersama. Prinsip saya, seboleh-bolehnya jangan disusahkan orang lain dengan masalah kita. Masalah saya, saya tidak ada pembantu. Memberi kepercayaan kepada orang lain selain adik saya merupakan satu perkara yang sangat sukar buat diri saya pada ketika itu. Apalagi setelah mendengar cerita rakan-rakan peniaga yang kerugian akibat barang jualan di curi dan di rompak pekerja sendiri. Belum lagi hal pengeposan barang jualan yang salah, yang rosak dan hilang sebelum sempat ke pejabat pos. Malah saya sendiri pernah berdepan dengan bakal pekerja yang sangat demanding - awal-awal saya 'reject' sebelum saya sakit kepala.



Islamic Communication Exhibition (ICE) Fashion Show, Melaka - 26 Feb 2012
 
Pada tahun itu juga saya membeli 2 buah mesin jahit untuk kegunaan kerja-kerja menjahit. Saya mula mengambil kelas menjahit walaupon saya sudah tahu menjahit. Saya mula mengeluarkan jubah-jubah rekaan saya sendiri yang produksinya hanya sehelai setiap keluaran. Bermulalah 1 cabang perniagaan lain iaitu mengambil tempahan menjahit jubah. Saya telah diajak oleh seorang rakan perniagaan untuk menyertai Pertunjukan Fesyen. Syukurlah saya mempunyai rakan perniagaan yang tidak lokek untuk berkongsi.
 

Muslimah Fashion Show for Charity, Ampang - 13 May 2012

Tahun 2012, saya dapat menyertai 2 pertunjukan fesyen. Walaupon tidak setaraf pereka fesyen atau pemilik butik terkenal, namun saya berpegang kembali dengan niat berniaga dan menjahit. Saya bangga dengan pencapaian kecil saya. Pada penghujung tahun 2012, saya telah diwawancara untuk 1 slot di dalam rancangan Seleksi Hijab yang ke udara pada tahun 2013. Bermulalah saya dengan projek menjahit pakaian khusus untuk mereka yang bertubuh besar atau mempunyai potongan badan istimewa.



Sessi rakaman Seleksi Hijab, 22 November 2012


Tahun yang produktif pada saya. Ditambah lagi berita gembira yang saya hamil anak ke-4 pada waktu itu. Rezeki berganda. Alhamdulillah.





.


.