Showing posts with label Pengalaman Bekerja. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman Bekerja. Show all posts

Saturday, January 14, 2017

Lain Padang, Lain Belalang...

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com


   

Bila saya tengok cara bekerja rakyat pendatang seperti Bangladesh dan Indonesia, pasti saya teringatkan macammana saya mencari rezeki waktu di Amerika dulu. Saya bekerja di 2 tempat berasingan. Letihnya memang tak terkata. Tapi dari saya termenung tak buat apa atau pergi shopping saja-saja, baik saya kerja.

Tapi tak lama saya kerja macam tu. Saya kemudiannya berkhidmat kepada salah satu syarikat komunikasi gergasi di Amerika yang menyediakan perkhidmatan tv satelit sebagai Juruteknik. Hampir setahun saya leka bekerja, saya tidak sedar permit kerja dah hampir lupus dan VISA saya juga dah hampir tamat tempoh. Memandangkan keluarga saya inginkan saya pulang ke tanah air, dengan berat hati, saya berhenti kerja di penghujung tahun 1999 dengan gaji USD27 sejam. Jumlah yang sehingga kini saya rasa mewah sangat.

Balik dari belajar di Amerika Syarikat, saya fikir dengan segulung ijazah dan pengalaman bekerja, saya pasti akan dapat kerja yang baik dengan gaji yang lebih tinggi dari mereka yang baru tamat belajar. Sangkaan saya meleset. Kecewa saya bila ada majikan yang tak mahu ambil saya bekerja dengan alasan ‘pengalaman kerja tidak seiring dengan kelulusan’. 


Setelah 3 bulan menganggur di Malaysia, saya akhirnya diterima bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan. Bekerja di Malaysia memang tidak sama budayanya dengan bekerja di sana. Kebanyakan masanya apa yang saya buat di ajuk teman sekerja dan ada kalanya dikatakan sebagai "membodek". Saya merasakan seolah-olah saya mencipta lebih ramai musuh dalam pejabat berbanding rakan seperjuangan.

Semangat yang berkobar-kobar pada awalnya jadi pudar dan makin tak seronok bila bekerja dengan persekitaran yang menolak perubahan, terlalu banyak prosedur tak penting, kroni dan politik pejabat. Lebih tak seronok bila saya menyedari yang diri saya dipergunakan untuk kepentingan tertentu.

Akhirnya pada tahun 2007, saya melepaskan jawatan saya untuk mencuba nasib mencari rezeki mengikut prinsip dan cara saya. Tindakan yang drastik walaupon telah lama bersarang di fikiran. Pada saya, jika dahulu, di kala umur awal 20-an mampu saya berjuang sendirian mencari rezeki di negara asing, malulah jika sekarang saya tewas berjuang di negara sendiri.

Sahaja aku mencari rezeki yang halal untuk keluargaku kerana Allah Taala.




.

Friday, January 13, 2017

Dipersimpangan Dilema

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Sumber Google
Email :: ethabahrom@gmail.com




Saya tidak bekerja selama waktu saya belajar di Amerika Syarikat kerana saya bukan pelajar pintar. Saya merupakan seorang pelajar yang perlu bekerja keras dalam mengulangkaji, memahami dan menghafal. Tetapi jika diberikan tugasan yang melibatkan kemahiran, kecekapan dan ketangkasan, sayalah orangnya. 


Tahun 1998, kegawatan ekonomi dan politik melanda Malaysia. Rata-rata rakan-rakan yang pulang selepas meraih ijazah tidak mendapat pekerjaan tetap atau yang mereka inginkan. Dengan sokongan pihak penaja pelajaran saya, saya berjaya mendapatkan permit pekerjaan yang sah untuk 1 ke 2 tahun di Amerika. Saya bermula dengan bekerja sebagai Inventory Specialist. Kerjanya banyak berurusan dengan pihak pelanggan syarikat yang mahu menggunakan perkhidmatan kawalan dan kiraan stok di gedung-gedung besar seperti WalMart contohnya. Bekerja di kalangan bangsa Amerika sangat mencabar kerana saya satu-satunya wanita melayu Islam bertudung. Boss saya dari German. Dari loghat bahasa yang sangai koboi sehingga yang sangat German perlu saya fahamkan supaya saya tak jadi bahan. Secara tidak langsung, saya mengasah penggunaan Bahasa Inggeris loghat Amerika. Ada masa saya bercakap macam koboi kerana pemandu van yang hantar kami ke premis perniagaan pelanggan merupakan anak jati Oklahoma. Bangga rasanya bila kita yang dulu hanya bertutur English pelat, sekarang dah boleh bercakap dengan gaya orang Amerika. Kerja saya mudah kerana hari bekerja cuma Isnin hingga Khamis. Dari pagi (kadang kala kena bergerak seawal 3 pagi ke premis pelanggan) sehingga selewat-lewatnya jam 9 malam. Penatnya travel ke sana ke mari, tapi saya percaya, lagi jauh perjalanan kita, lebih luas pengalamannya. Saya dapat travel sambil bekerja!

Kegilaan mengumpul Dollar Amerika mula menyengat. Saya cari pekerjaan sampingan graveyard shift (shift malam) yang pada waktu itu gajinya saya dapati lebih mahal 50 sen dari shift biasa. 50 sen memang sikit pada kita, tapi di sana pada waktu itu, ianya duit makan tengah hari saya. Saya bekerja di bahagian belakang WalMart Superstore di Tulsa - bahagian punggah stok. Bayangkan tayar trailer pon dah lebih tinggi dari saya, apalagi kontenanya. Saya yang kenit (pada masa tu) ditugaskan untuk mengangkat dan memunggah barang ke troli yang kemudiannya di tolak ke department barang tersebut untuk dipamerkan di rak perniagaan. Seorang wanita Islam dari Malaysia yang bertudung, bekerja di bahagian belakang Super Store di kalangan lelaki Amerika yang sejujurnya pada saya, sangat hendak tahu apa yang saya pakai di kepala dan mengapa saya mengenakannya. Mujurlah ada saudara seIslam yang berbangsa African-America menawarkan diri untuk ‘jaga’ saya. Hari-hari seram.

Pada waktu itu, saya cuma bekerja pada malam Khamis, Sabtu dan Ahad. Masuk 6 petang, keluar 6 pagi. Memandangkan saya merupakan pembantu kesayangan, boss saya sentiasa beri kelonggaran mengubah waktu shift asalkan saya ada bekerja pada jam 12 tgh malam. Prestasi kerja saya antara yang terbaik, produktiviti kerja saya juga antara yang tertinggi, tidak lama selepas itu, saya diterima bekerja sebagai juruwang dan kemudiannya berkhidmat di kaunter Perkhidmatan Pelanggan.

Di sinilah bermulanya saya belajar apa maknanya “Customer IS ALWAYS RIGHT”. Rasanya ramai peniaga online yang menyampah dengan tagline ni. Nasihat saya, cuba fahami maksudnya sebelum menolaknya mentah-mentah. Dalam masa 6 bulan gaji saya naik 3 kali bukan sikit-sikit...saya jadi gelap mata bila tengok USD dalam akaun bank saya. Nak balik ke tidak ni.......



kredit gambar : money.cnn.com.

Bersusah-susah Dahulu...

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Sumber Google
Email :: ethabahrom@gmail.com

 
 

Pekerjaan pertama saya ialah bersama mak di depan rumah. Saya membantu mak menjual air dan makanan ringan kepada budak sekolah. Setiap hari, saya cuba jadi antara orang terawal yang keluar dari sekolah sebab adik-adik kecil saya ramai dan mak berseorangan mengendalikan perniagaan. Tamat SRP, saya mula mengikuti ayah berniaga ayam goreng di pasar malam. Berniaga ayam goreng memang tidak susah. Tapi dengan tong minyak panas di sebelah saya, mengira jumlah pembelian dan mengira duit baki pon jadi susah dan mencabar.  

Keadaan ini berterusan sehingga saya tamat mengambil SPM pada tahun 1993. Di suatu tahap, saya merasakan saya perlu pengalaman baru selain dari berniaga dengan orang tua saya. Saya perlu keluar dari kepompong berniaga di tepi jalan sebegini. Bukan memilih, bukan juga tidak mahu membantu. Tetapi saya yakin, kebolehan dan keupayaan saya lebih dari apa yang digunakan pada waktu itu. Apalagi pada ketika itu, dengan adik-beradik yang ramai, dengan ayah yang tiada pekerjaan tetap, dengan saya sebagai remaja yang sangat ingin melanjutkan pelajaran ke menara gading, saya mula merasa risau tentang belanja sekolah saya yang akan datang. Saya mengambil keputusan untuk mencuba nasib dengan kerja pejabat. 
 
Dengan bantuan kawan-kawan, saya dapat kerja sebagai Kerani Data Entry di satu syarikat perkapalan di Kuala Lumpur. Khidmat saya tidak lama kerana selang beberapa bulan selepas itu, saya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dan kemudiannya saya ke Amerika Syarikat untuk mengambil ijazah.
 
Peluang itu tidak saya lepaskan untuk merasa sendiri cabaran bekerja di negara asing, dikelilingi bangsa asing dengan budaya yang tidak sama seperti kita di Malaysia. Seronok tau!