Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts
Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts

Tuesday, February 14, 2017

Kelas Asas Blog dan Penulisan

  Teks :: Etha Bahrom    Foto :: Akademi Bekerja Di Rumah    Email :: ethabahrom@gmail.com  



Lamanya tak menulis.

Bukan sebab dah malas. Tetapi saya baru berjaya melalui 2 minggu yang padat dan memenatkan. Nanti kita cerita dalam entri lain, ya!

Awal tahun ini, mak saya gelakkan saya bila saya kata saya nak daftar masuk kelas untuk bisnes. Katanya, dah umur macam saya...dengan anak 4 orang, kerja rumah, bisnes, nak urus diri lagi, dengan Syasya hari-hari menangis di sekolah, dengan Alisya yang aktif bergerak - BOLEH KE? Itu persoalan dari mak.

Jika dilihat dari satu sudut, memang saya tidak boleh. Orang yang semuanya nak buat sendiri dan tidak mahu menyusahkan orang lain dengan urusan yang bukan hal dia pasti akan faham betapa saya rasa perkara ini umpama menjerat diri untuk menjadi lebih 'tidak ada masa'.
Namun, Allah bukakan jalan. Saya akhirnya mendaftar untuk Kelas Asas Blog dan Penulisan dengan Puan Masayu Ahmad. Berjaya habis pulak tu. Tepukan untuk diri sendiri!

Tengok tajuk kelas, macam senang saja, kan? Macam...itupon nak ambil kelas ke? Memang senang kalau kita biasa buat. Untuk orang macam saya, blog memang bukan platform saya. Jadi, segala tempat yang saya perlu klik, perlu buat, perlu bina dan perlu tahu  membuatkan saya rasa sedikit kegusaran, rasa menggelabah, rasa hilang keyakinan sementara dan rasa MALAS. Walaupon konsepnya hampir sama dengan membina web dan ianya merupakan 'makanan' saya suatu masa dahulu, saya masih tidak faham motif blog. Bila tidak faham, mulalah rasa tersangkut.

Alhamdulillah. Dengan bantuan ahli kumpulan khususnya Puan Masayu, siap juga tugasan yang diberikan. Walau tidak berkelip atau berwarna-warni, namun saya percaya dengan keperluan content yang berisi dari make-up yang cantik agar bermanfaat kepada orang lain yang membacanya.

Saya dah nampak jalan bagaimana untuk memanfaatkan blogspot. Saya mulai faham bagaimana untuk kita letakkan diri kita di dalam dunia online melalui blog. Dan yang paling penting, saya dah tahu tulis blog dan dah ada blog.

Saya teringat kata-kata sahabat baik saya. Adakalanya, kebiasaan kita pada hari-hari yang kita lalui merupakan perkara yang luar biasa pada orang lain. Kadang-kala, perkara yang kita lakukan sambil santai boleh menjadi sumber inspirasi kepada insan lain. Saya mahu menjadi punca orang lain memajukan diri biarpon sekecil-kecil perkara seperti "alah...kerja kat rumah je ponnn"

Moga saya terus dapat memanfaatkan ilmu dari kelas ini untuk menyalurkan inspirasi kepada ibu-ibu lain. Bekerja dari rumah bukanlah satu kekurangan tetapi ianya memerlukan lebih dari 1001 kebolehan kerjaya lain. 

Terima kasih, Puan Masayu Ahmad!

Saturday, January 28, 2017

Jiwa Yang Tenang Sangat Membahagiakan

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com


Assalamualaikum. 

Moga hari indah seperti hari ini bg mereka yg mencari keindahannya menjadi lebih indah dari hari-hari sebelumnya. 

Ambil mood nak siapkan kerja kononnya. Orang tua2 kata, nak buat kerja, mula subuh2. Selalunya, kalau nak buat kerja, sure kita mandi dulu, kan? Tapi dari tadi Etha termenung kat sini. Nak mandi ke tidak... Nak mandi ke tidak niiii.... Sejukkkkk!!!

Erm...orang Ampang ada air tak hari ni?




.

Friday, January 27, 2017

MOOD CUTI - CHINESE NEW YEAR 2017

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com



Anak-anak dah mula cuti sejak semalam. Hari ni suami kerja separuh hari. Kami nak bawa anak-anak pergi berkhemah lagi sekejap lagi.

Ada sahabat yang berkata pada Etha, beraninya bawa anak-anak kecil masuk berkhemah di tepi hutan. Sebenarnya tidaklah seberani mana. Tetapi Etha jelaskan yang kita perlu beritahu kepada anak-anak yang kita ni masuk ke 'rumah' orang. Jelaskan beberapa perkara asas yang mereka perlu akur.


Contohnya, tidak dibenarkan membuang air merata-rata terutamanya di tepian gigi air dan pangkal pokok. Kita tak mahu ada 'orang' marah, kan? Mesti jadi tak seronok kalau tiba-tiba ada yang terjerit-terpekik di tengah-tengah malam sebab kena ganggu dengan 'mereka' yang marah.Contoh lain ialah dilarang main baling-baling batu ke hutan . Manalah tahu, terkena kepala 'mereka' yang tidak kelihatan. Nanti marah lagi....


Contoh lagi, JANGAN BERCAKAP BESAR. Penghuni hutan ni, mereka suka betul nak mengusik orang. Apalagi pada mereka yang bercakap besar, meninggi diri, meninggi suara atau tak sedar diri. he he he


Senang cerita, sedangkan bila kita bertandang ke rumah orang pon kena beradab, bergitulah juga bila kita masuk ke dalam hutan. Hutan bukan rumah kita. Kita menumpang sahaja. Jaga adab, insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka.


Selamat menyambut Tahun Ayam bagi mereka yang berbangsa Cina. Happy New Year dan Selamat Bercuti!


BYE...nak pergi dah ni...




.

Awal pagi dah kerja...

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com




Orang lain masuk pejabat pukul 8 pagi.

Etha pukul 6 pagi dah clock-in. 


Nama pon home office dengan butik kat bawah rumah.


Nampak seronok je kan?

Tahukah anda yang habit bekerja pagi-pagi (apalagi bila bekerja sendiri) memerlukan disiplin yang tinggi?

Macammana nak bangun awal?


Tidur kena awal. Boleh kalau nak tidur lambat. Tetapi minda dan badan yang penat, lesu dan tidak cukup rehat memang tidak akan membantu kita mencapai hasil kerja yang optimum. Bayangkan jika kita cuci pakaian pon adakalanya kita termasukkan baju panas warna hitam berendam dengan baju sekolah yang berwarna putih..ha...tu tanda kepenatan lah tu! Rehat dengan secukupnya. Jika tidak ada masa, cari masa.


Mak Etha selalu pesan, bangun subuh-subuh cari rezeki. Baik, mak.





.

Tuesday, January 24, 2017

Kerja Dari Rumah

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com




2 hari tak post apa-apa. Mari Etha kenalkan penyeri butik di rumah Etha.

Ini Alisya. Anak Etha yang ke-4. Dia ni memang x berapa supporting bila masuk bab 'tolong behave, mama nak kerja' atau 'Alisya main ya, mama nak work'. Hmmphh...


Siapa ada cerita yang sama?


Pelik, kan? Anak kita boleh main tanpa mengganggu kita bila kita sekadar duduk di depan tv. Macam Etha, sebaik sahaja Etha bentang kain di atas meja dan pegang gunting, Alisya pasti akan datang untuk 'menolong'. Asal Etha pegang bunga untuk di gubah, dia pasti akan duduk sekali untuk 'menolong' juga. Macammana kerja nak siap ni?


Mempunyai anak kecil sambil kerja dari rumah memang menduga kesabaran kita. Apalagi bila kita nampak rakan-rakan peniaga kita meluncur laju menceritakan kehebatan angka jualan masing-masing atau berkongsi kisah pencapaian mereka.


Jangan cepat rasa geram. Jangan cepat rasa marah. Kita perlu letak keutamaan di dalam hidup kita. Mungkin sesetengah orang tidak bersetuju dengan pendapat Etha. Kita kembali kepada tujuan utama kita berhenti kerja, atau tujuan utama kita bekerja dari rumah. Jika jawapannya ialah 'agar kita mudah menguruskan anak-anak' atau 'nampak anak membesar depan mata', maka tetapkan hati untuk anak-anak sebagai perkara no.1 sebelum perkara yang berkaitan bisnes kita.


Seseorang pernah berkata pada Etha. "If you cannot walk through it, walk AROUND it". Maknanya jika kita tidak boleh berbuat sesuatu itu dengan cara mengubah sifat sesuatu itu, maka kita lah yang kena mengubah diri agar kita mampu menempuhinya. Deep.



Moga dipermudahkan, ya!

Sunday, January 22, 2017

Cipta Kenangan Untuk Di Kenang

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com
  
 

Alhamdulillah.
 
Cuaca cantik sangat sejak semalam. Hawa amat sejuk malam tadi sehinggakan kami adik-beradik berlonggok di hadapan unggun api bila anak-anak masing-masing sudah masuk tidur di dalam khemah. Bercerita tentang topik yang tiada hala-tuju. Ketawa. Minum kopi. Makan kacang. Gembira.

Asalnya Etha, mak Etha, seorang adik bujang dan 2 adik bersama keluarga masing-masing yang merancang perkhemahan ini. Tetapi, menjelang tengah malam, datang 2 lagi adik-adik lain membawa keluarga masing-masing. Gamat suasana seketika.




15 orang anak-anak kesemuanya berumur dari 1 tahun sehingga 13 tahun. Bukan senang nak kawal. Tapi bila semuanya dah tidur, amannya terasa. Barulah dengar bunyi cengkerik, suara ungka dan kelihatan kelip-kelip berterbangan bila lampu kecil USB kami dimalapkan.
 




Kerjasama.
 
Sepakat.
 
Itulah kami sejak dulu. Syukurlah adik-beradik boleh berlebih-kurang, bertolak-ansur, sama-sama menolong dan melengkapkan apa yang kurang lengkap pada adik-beradik lain. Mak sebagai 'gam' kami.

Pentingnya bila bekerja bersama adik-beradik ialah kesepakatan. Kami ambil berat peranan masing-masing. Kami bergerak sebagai satu kumpulan. Bukan dia dengan hal dia, aku dengan hal aku. Kerana itu, suatu masa dahulu, perniagaan perkhidmatan perkahwinan kami mampu menjulang pendapatan kasar keluarga mencecah RM40,000 seminggu (3 majlis sekali gus di dalam 1 minggu).

Tetapi kemeriahan bekerja yang kami jangka berpanjangan telah dicalarkan dengan satu insiden berpunca dari orang luar yang membuatkan Etha menarik diri dari perniagaan itu dengan serta-merta. Sejak dari itu, satu demi satu masalah muncul yang berpunca dari dalam. Kami akhirnya mengambil jalan masing-masing untuk meneruskan perniagaan mengikut kemahiran sendiri. Sedih.
 
Apapon, kami tetap OK. Macammana nak kata tidak OK kerana kami masih sering bersama dalam pelbagai aktiviti. Etha suka begini. Biarpon masing-masing telah berumur atas 20-an sekarang, pada Etha, mereka masih adik-adik kecil Etha yang Etha jaga bila mak dan ayah tiada di rumah. Merekalah adik-adik Etha yang Etha suapkan nasi ke mulut mereka. Merekalah yang Etha pernah dodoikan dengan lagu-lagu Rock Kapak (jangan gelak ok..). Merekalah adik-adik Etha yang Etha dukung dan kelek ke sana-ke mari. Syahdu la pulak....

Oklah.

Dah balik Ampang.

Working Mode ON.

Etha nak kena jumpa pelanggan baru di Ampang Point sekejap lagi. Ada kerja baru sikit. Kerja dari rumah pon kena keluar juga sekali-sekala. Untung nasib, boleh window shopping selantai-dua.
.

Saturday, January 21, 2017

Harga Masa Bersama Anak-anak

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com




Kami sedang bersiap-sedia untuk pergi berkhemah. Anak-anaklah yang paling x sabar nak pergi. Mama mereka masih di hadapan PC untuk entri ni.

Jika dulu, sewaktu anak Etha cuma 2 orang, kami pergi berkhemah setiap kali musim kenduri melabuhkan tirainya. Ianya satu aktiviti yang perlu di cari masanya kerana kekangan masa. Mana tidak, Etha dan suami kedua-duanya bekerja sepenuh masa dan dalam pada yang sama, membuat pekerjaan sampingan dengan mengendalikan perniagaan perkhidmatan kenduri kahwin.

Kerja kami memerlukan pengorbanan masa yang amat kritikal sehingga ada kalanya Etha tidak sempat untuk bertanyakan anak sulung berkenaan harinya di sekolah. Kasihan dia.

Bila kami dapat meluangkan masa, kami memilih untuk berkhemah kerana aktiviti ini akan merapatkan kami dengan tiadanya isyarat telefon bimbit ataupon siaran televisyen.

Agak lama juga kami tidak melakukan aktiviti ini. Seingat Etha, sejak Etha berhenti kerja dan membuka butik. Hujung minggu kami ialah di butik.

Satu rahmat juga bila butik di pecah masuk dan membuatkan Etha berpindah ke rumah. Kini, setelah Etha lepaskan perniagaan perkhidmatan perkahwinan kepada ayah dan adik-adik lain, masa Etha lebih terluang untuk anak-anak. Tahun ini sahaja, sudah 3 kali kami berkhemah. Sementara sekolah tidak banyak aktiviti, kan...

Mengapa perkhemahan yang dipilih? 

Selain dari tiada isyarat telefon bimbit dan siaran televisyen, keadaan dalam hutan yang sepi membuatkan anak-anak mahu dekat dengan kita. Kesempatan sebegitu kita boleh gunakan dengan sebaiknya untuk bercerita, bersembang, bertanya, berjenaka dan berseloroh dengan anak-anak. Semestinya dalam keadaan sebegitu, memori aktiviti akan terpahat kuat di dalam ingatan anak-anak kerana tiada gangguan lain, cuma kami.

Kita boleh menceritakan kepada anak-anak mengapa kasut perlu diletakkan terbalik, mengapa ranting digunakan untuk menghidupkan api dan lebih menarik jika kita kaitkan subjek sains kepada aktiviti kita. Kita boleh terangkan mengapa api tidak menyala. Kita boleh ajarkan anak-anak kita mencipta gadjet perkhemahan seperti tempat letak kasut dan rak pinggan-mangkuk. Semestinya juga kita boleh ajarkan mereka dengan nama-nama ikatan asas dan kegunaannya.

Selain daripada itu, biarkan mereka menjadi peneroka kecil kepada alam sekitar. Biarkan mereka mengenali serangga dan haiwan hutan seperti belalang kayu, mentadak, semut bukit, siput, pacat, katak hutan dan belut.

Jangan lupa didik mereka untuk mengutip segala sampah yang ada di sekeliling kawasan perkhemahan walaupon bukan kita yang biarkan sampah itu merata-rata. Perkara ini memang asing kepada orang kita, tetapi ianya satu kebiasaan semasa Etha pergi ke tapak perkhemahan di USA suatu masa dulu. Kagum. Sungguhpon mereka bukan Islam, tetapi mereka pembersih. Sedangkan kita yang Islam yang di ajar untuk jadi suci dan bersih, tanpa rasa bersalah meninggalkan sampah terbiar di pangkal pokok. Belum lagi nak diceritakan hal lampin pakai buang yang dibiarkan dicelah-celah batu di tepi sungai.

Sesetengah orang geli-geleman dengan aktiviti comot dengan pelbagai haiwan ni. Namun pada Etha, ianya satu bentuk pendidikan kepada anak-anak. Jimat belanja. Belajar susah. Belajar simple (walaupon mama mereka kadang-kala sangat complicated). Belajar jimat. Belajar untuk jadi kreatif.

Etha pergi dulu, ya! Kami bermalam di sana. Nak ambil feel menulis dari bunyi katak, cengkerik dan ungka kononnya. Tata.





.

Azam Dan Cabaran


Teks :: Etha Bahrom
Foto :: FB Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com




Meskipon bukan norma Etha untuk memasang azam untuk diri sendiri, Etha tetap menetapkan beberapa sasaran yang perlu Etha capai pada tahun tersebut. Tetapi sasaran itu bukan Etha tetapkan di tahun baru. Ianya sesuatu perkara yang ongoing. Tidak spesifik dan ringkas.

Bagaimana nak sasar?

Pada bila-bila masa, setiap kali kita terlintas untuk berbuat sesuatu, tuliskan ia di dalam buku catatan kita. Jika tidak ada buku catatan, tulislah diatas kertas dan TAMPALKAN di dinding di mana hari-hari kita akan terpandang kertas itu. Itu cara Etha.


Carikan 1 cara mudah yang boleh membuatkan kita tidak terlupa sasaran kita dan pastikan ianya PRAKTIKAL serta MEMBANTU. Lain orang lain caranya. 
Agak segan untuk berazam kerana perkataan azam itu akan menjadikan Etha macam dalam cerita Mat Jenin. Duduk di atas pokok, berangan dan meletakkan diri dalam bahaya jatuh ke bawah. Jika nak terikut-ikut cara orang lain, setiap tahun baru mesti nak pasang azam. Akan tetapi hinggalah hujung tahun ianya sekadar jadi azam. Kemudian, azam itu di bawa pula ke tahun hadapan yang berkesudahan dengan sekadar azam juga. Tapi itu pendangan Etha sahaja ye. Ini cuma saya.

Antara sebab azam tertangguh ni ialah KEUTAMAAN. Bila dah anak 2-3-4, rutin hidup kita tak akan sama dengan zaman kita cuma ada seorang anak atau zaman bujang.


Semasa masih bujang, langkah kita panjang. Hendak ke mana-mana pon senang. Tetapi apabila kita mempunyai anak kecil, hendak melangkah pon tak boleh besar-besar. Kena terhendap-hendap takut yang kecil yang disangka sedang leka rupa-rupanya sedang memerhati setiap gerak-geri mama secara terperinci. Semua benda dia nak ikut buat sekali, termasuklah bila kita hendak ke tandas. 

Siapa mama macam Etha pasti akan faham, kan? Nak gelak ke, nak stress? 

PRIORITY...KEUTAMAAN. Semestinya keluarga, suami dan anak-anak. Biarlah Etha menamakannya CABARAN. Biar setiap hari Etha dengki tengok betapa orang lain mara ke depan berlumba mencari ilmu atau mengasah idea untuk menulis sesuatu yang memanfaatkan diri dan orang lain. 

Pada Etha, cabaran ni jika ditafsirkan, ianya sesuatu yang kita mahu buat sepenuh hati. Walau kita ada urusan lain sekali pon, jiwa kita tetap akan ingat selalu untuk  buat. Kita akan curi masa untuk pandang. Kita akan usaha untuk laksanakan.

Contohnya, tahun ini, Etha tetapkan yang aku ingin buat 3 perkara baru dalam hidup, mengulang 3 perkara yang aku suka buat dan menolong 3 orang susah yang tidak dikenali yang perlukan pertolongan. Tidak perlu terlalu spesifik buat masa ini, kerana hanya kita yang tahu kemampuan diri kita dalam melalui cabaran kita hari-hari.

Ini kemajuan Etha setakat hari ini.

Senarai Perkara Baru
1 - menulis blog.



Senarai Perkara Yang Diulang
1 - Pergi bermalam di hutan bersama suami, anak-anak, adik-adik dan mak.



Alhamdulillah.




Pesanan ringkas : Teks di atas mungkin tidak akan dipersetujui oleh sesetengah pihak. Teruskan apa yang kamu percaya. Apa yang Etha tulis adalah di atas perjalanan dan pengalaman hidup sendiri. Tidak berniat untuk memperkecilkan orang lain apalagi menghalang kebiasaan orang lain. Maaf ya!


.

Friday, January 20, 2017

Catatan Tahun Baru 2017

Teks :: Etha Bahrom
Foto :: Etha Bahrom
Email :: ethabahrom@gmail.com





Malam tahun baru 2017 macam malam-malam yang biasa. Kami tidak tunggu bunga api pon.

Masa tinggal di rumah flat dulu, tidak perlu pergi jauh-jauh. Dari depan tingkap bilik tidur pon dah boleh nampak 'pesta' bakar mercun dari Pandan Indah sampai ke Cheras. Buka pintu depan, boleh nampak bunga api sampai ke KLCC. Sekarang sepi. Ekonomi tengah merundum agaknya. Selalunya perumahan orang cina berlawan-lawan membakar mercun. Tahun ni, rumah yang sering meriah dengan party tahun baru kelihatan sepi. Berbeza pula di perumahan orang melayu. Kedengaran 2 kali mercun di bakar berdentum menggamatkan hening malam. Orang kaya mungkin.

Pagi tahun baru itu, Etha mengajak suami untuk berkelah di Sungai Chongkak, Hulu Langat yang letaknya lebih kurang 30 minit perjalanan dengan kereta dari rumah kami. Rasanya seakan Etha mahu 'buangkan' segala  tekanan dan kenangan tidak elok yang Etha lalui sepanjang 2016.

Sepanjang tengah hari itu Etha menyusun batu untuk mengempang air agar menjadi satu kolam besar untuk kami anak-beranak. Entah berapa kali batuan tersebut runtuh dan menimpa kaki. Sakit!


Berkali-kali Etha membina dengan bantuan anak-anak, akhirnya siap juga. Air di situ naik dari paras paha ke paras pinggang Etha serta terhasil juga bahagian untuk kanak-kanak berendam secetek paras bawah betis dewasa.

Dari situ Etha refleks kembali beberapa kejadian dalam perniagaan Etha. Empangan itu ibarat dasar, asas dan ilmu yang Etha perlu ada dan jaga dalam perniagaan. Anak-anak yang membantu itu umpama orang lain yang Etha berikan kepercayaan dalam menjalan perniagaan Etha di barisan hadapan. Air yang di empang itu ialah kejayaan. Mereka yang mandi dengan gembira serta ikan-ikan di dalamnya ibarat orang lain yang dapat Etha bantu bila Etha berjaya menjalankan perniagaan dengan baik, contohnya para agen droship yang Etha pernah ada.


Ada kalanya batuan empangan yang Etha bina runtuh di bahagian yang jauh dari tempat Etha berdiri. Maka, anak Ethalah yang membetulkan kembali susunan batu supaya lebih kukuh. Etha perlu beri kepercayaan kepada dia yang dia mampu betulkan. Ada kalanya, dia dapat membetulkan dengan baik malah lebih kukuh dari yang Etha buat.



Begitulah dalam perniagaan. Biar memberi faedah kepada orang lain juga. Ianya perlu di selenggara, di pantau, di baiki agar pendapatan yang kita jana dari perniagaan tersebut tidak menyusut. Kita jangan sombong untuk mendapatkan bantuan dari orang lain. Kita jangan angkuh untuk beri pertolongan pada orang lain. Kita perlu akui kerja berpasukan lebih menguntungkan untuk jangka masa yang panjang sekiranya kita sepakat terhadap tujuan yang di tetapkan. Kerja sendirian adalah memenatkan. Kita perlu bersedia untuk penat jika jalan itu yang kita hendakkan.

Etha bertanya kepada diri Etha pada hari itu.

Kuatkan asas aku?

Betulkah cara aku?

Sombongkah aku?
 

Berkirakah aku?


Mungkin juga Etha tertanya sebegitu kerana beberapa bulan sebelum itu, terdapat satu insiden yang sangat meruntuhkan rasa harmoni di dalam jiwa Etha. Etha dilabel oleh seseorang sebagai ego, berkira, cerewet terlampau dan cepat melenting hanya kerana Etha bertanyakan sesuatu yang Etha berhak tahu. Lebih menyedihkan bila bantuan yang Etha dan suami hulurkan diungkit dengan cemuhan. Perkara sebegini selalunya mudah Etha lupakan. Tetapi yang ini, ianya umpama menikam Etha dengan pisau panjang, parutnya dalam dan sakitnya tidak hilang. Bila bantuan kita di cemuh, sesiapa pon pasti terasa. Bila persahabatan yang kita dapat bersifat plastik, berpura-pura dan tidak ikhlas, pasti kita terasa ralat.

Mungkin dia dapat hidup dan tidur seperti biasa. Mungkin itu memang sifat kebiasaan dia. Walaupon dia sudah meminta maaf, namun kerana perkara yang diungkit itu sesuatu yang sudah lepas, yang Etha & suami beri dengan rasa penuh kepercayaan dan ikhlas, Etha terasa ianya umpama kata mainan di bibir dan jari dia. Susah nak percaya. Bila kepercayaan musnah, yang tinggal hanya kenangan tak elok walaupon kita sudah memaafkan.

Moga Etha akan melupakan segalanya.
 
Jangan kecam Etha , ya.

 
Doakan juga agar tahun 2017 menjadi tahun yang baik buat diri Etha.
 

 
 
.